Diskaun tiga peratus akan diberikan kepada ahli IMCOOP yang berdaftar!!

imcoop

PASIR GUDANG, 28 Nov – Seramai 6,500 golongan berpendapatan sederhana dan rendah akan diberikan kad keahlian secara percuma Kedai Harga Patut Muafakat Johor Koperasi Iskandar Malaysia Bhd (imCoop) pada tahun hadapan.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1.3 juta bagi membiayai kad keahlian mereka untuk membantu mereka menangani kos sara hidup yang tinggi.

“imCoop ini menawarkan pelbagai barangan keperluan harrian pada harga rendah kerana ianya dipasarkan terus dari pengilang tanpa menggunakan orang tengah dan diskaun tiga peratus akan diberikan kepada ahli semua koperasi yang berdaftar”

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kedai Harga Patut Muafakat Johor di Kota Masai, Pasir Gudang, hari ini.

Jelasnya, imCoop di Kota Masai ini merupakan kedai yang pertama dan akan diikuti oleh 19 lagi cawangan rantaian kedai tersebut yang akan dibuka serentak menjelang akhir tahun ini termasuk sebuah gudang di Kulai yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Dana sebanyak RM12 juta telah disediakan bagi membangunkan keseluruhan kedai imCoop di mana sebanyak RM2 juta adalah suntikan khas kerajaan negeri manakala selebihnya adalah daripada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

“Saya yakin konsep koperasi adalah platform terbaik bagi meningkatkan sosio-ekonomi dan kesejahteraan rakyat dalam kita berhadapan dengan pembangunan ekonomi yang pesat terutamanya di kawasan Iskandar”, tambahnya.

Menurutnya lagi, pembukaan kedai imCoop juga akan menyediakan 1,300 peluang pekerjaan kerana ia bernaung di bawah 60 buah koperasi dengan 40,000 orang anggota ahli sekaligus meningkatan lagi kerjaya keusahawanan di kalangan rakyat.

Antara barangan yang dijual adalah bahan makanan utama, barangan cucian dan basuhan, keperluan bayi, barangan sejuk beku selain beroperasi selama 24 jam.

Koperasi Iskandar Malaysia Bhd mensasarkan untuk membuka sebanyak 150 kedai imCoop menjelang 2017.

Advertisements