UEC TIDAK SELARI KURIKULUM KEBANGSAAN, TEGAS JAIS

image

KOTA ISKANDAR: Kerajaan Negeri belum bercadang untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) kerana ia tidak selari dengan kurikulum kebangsaan mengikut Akta Pendidikan 1996.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Md Jais Sarday, berkata, UEC tidak mengikuti standard seperti Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), khususnya subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam membina semangat patriotisme dan identiti nasional.

“Syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam mestilah kredit Bahasa Melayu dalam SPM. Bagaimanapun sijil UEC didapati tidak setara. Begitu juga subjek sejarah, meskipun mereka diterima melanjutkan pengajian ke luar negara.

“Kita tidak mahu tindakan beberapa pelajar di luar negara memegang jalur gemilang terbalik, berulang kembali sekaligus membuktikan betapa pentingnya subjek Sejarah dalam membentuk identiti nasional dan cintakan negara di kalangan pelajar bermula dari sekolah,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Boo Cheng Hau (DAP-Skudai) pada Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor ke-13, di sini, hari ini.

Terdahulu, bekas ketua pembangkang itu melabel Jais sebagai jahil kerana memberikan jawapan yang ringkas terhadap soalan beliau mengenai sebarang perancangan Kerajaan Negeri untuk mengiktiraf UEC.

Bagaimana pun, Md Jais membidas kenyataan itu kerana Timbalan Menteri Pendidikan sudah pun memakluman mengenai perkara itu pada awal November.

“Disebabkan Skudai (Cheng Hau) telah mengemukakan soalan pendek, justeru jawapan saya juga begitu..dia jangan kata kita pula jahil kerana isu UEC telah diulas oleh Kementerian Pendidikan pada 7 November lalu,” katanya.

Sumber : Jauhar.my

Advertisements