Sultan Johor titah kerajaan atasi segera kejatuhan nilai Ringgit

image

PETALING JAYA: Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar mengesa kerajaan Barisan Nasional (BN) menyelesaikan segera masalah negara terutama kejatuhan nilai Ringgit yang semakin teruk.

Baginda bertitah, walaupun tidak boleh mencampuri urusan politik tetapi sebagai Raja, baginda bertanggungjawab untuk memastikan suasana kehidupan rakyat dalam keadaan yang baik, maju dan makmur.

“Saya amat peka dengan rintihan dan keluhan suara hati rakyat saya. Suasana politik dan ekonomi negara yang berada dalam keadaan yang tidak stabil pada masa ini merupakan isu utama yang perlu ditangani oleh kerajaan dengan segera.

“Oleh itu, saya mengesa kepada pihak kerajaan yang memerintah supaya segera menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi sekarang ini, antaranya mengenai kejatuhan nilai ringgit yang amat teruk,” titah baginda sempena Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-50 pada Selasa.

Sultan Ibrahim juga mengingatkan kepada pemimpin pemimpin kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat supaya memikul tanggung jawab dengan penuh amanah untuk kepentingan umum dan jangan mengutamakan kepentingan peribadi.

Baginda juga menegur pemimpin yang memperbodohkan rakyat dengan membuat kenyataan yang hanya sedap untuk didengar bagi menutup keadaan sebenar.

“Rakyat pada hari ini adalah generasi yang berilmu dan bijak menilai maklumat yang diterima, janganlah cuba memperbodohkan rakyat dengan memberikan berita dan maklumat yang hanya sedap untuk didengar bagi menutup keadaan sebenar. Selesaikanlah masalah masalah yang timbul dengan segera,” titah baginda.

Baginda juga menasihatkan pihak luar yang tidak tahu sejarah negeri itu supaya jangan masuk campur dalam urusan orang Johor.

“Istilah Bangsa Johor bukanlah perkara yang baru. Almarhum nenda saya, Sultan Ibrahim, telah melihat jauh kehadapan yang perpaduan masyarakat di negeri Johor ini perlu dibentuk di bawah satu ‘Bangsa Johor’.

“Saya berharap rakyat Bangsa Johor yang berbilang agama dan keturunan akan hidup harmoni dan bersatu padu demi untuk kemakmuran dan keamanan Negeri Johor Darul Ta’zim,” titah baginda.

Advertisements