Hartanah milik warga asing terkawal

NUSAJAYA – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan dakwaan mengatakan pemilikan hartanah di negeri ini oleh warga asing berada dalam situasi tidak terkawal adalah tidak benar sebaliknya kerajaan negeri sentiasa mengutamakan rakyat tempatan.

Beliau yang juga Adun Permas berkata, berdasarkan Laporan Tahun Pasaran Hartanah 2014 oleh Pusat Maklumat Harta Negara (Napic), sebanyak 58,547 transaksi pindah milik harta bagi negeri ini direkodkan sepanjang tahun 2014.

“Bagi tempoh sama, Kerajaan negeri hanya meluluskan sebanyak 7, 830 permohonan kebenaran perolehan bagi kepentingan asing. Daripada jumlah itu sebanyak 6, 315 permohonan diluluskan adalah bagi kategori bangunan dan kediaman.

“Manakala selebihnya adalah bagi kategori turun milik kuasa melalui pusaka iaitu sebanyak 140 permohonan dan pembelian tanah secara pajakan sebanyak 1, 375 permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Adun (DAP-Senai) Wong Shu Qi pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Ketika Dewan Negeri Johor yang ke -13, di Kota Iskandar, di sini, semalam.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, daripada keseluruhan kediaman jenis strata sebanyak 93, 900 unit di negeri ini, pemilikan oleh warga asing adalah sebanyak 1, 088  unit atau 1.16 peratus.

Beliau yang menjawab soalan tambahan oleh Adun Semarang, Datuk Samsolbari Jamari memaklumkan jumlah pemilikan kediaman atas tanah di seluruh negeri Johor adalah 9, 459.

Dalam pada itu, Shu Qi pada sidang media mengakui tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan berhubung isu pemilikan asing terutamanya rakyat dari China di Johor Bahru.

“Jawapan yang diberikan Menteri Besar (Mohamed Khaled) adalah secara keseluruhan negeri sebaliknya kita berharap ia dibahagikan secara spesifik mengikut daerah dan jenis hartanah untuk mendapat huraian lebih jelas.

“Berdasarkan statistik Kelulusan Permohonan Kepentingan Asing mengikut Kewarganegaraan bagi tempoh 2009 hingga 2014 berlaku melalui jawapan bertulis pada Sidang Dun 12 Februari lalu menunjukkan peningkatan mendadak pemilikan warga China bagi kediaman jenis kondominium sehingga 400 peratus.

“Pada tahun 2013, rakyat China yang membeli kondominium adalah 436 berbanding tahun lalu iaitu 2, 078. Kita yakin mereka membeli unit mewah disebabkan peraturan menetapkan warga asing hanya dibenarkan membeli hartanah berharga lebih RM1 juta,” katanya.

– SINAR HARIAN

Advertisements