Solat Hajat Mohon Hujan Turun

image

JOHOR BAHRU – Masyarakat Islam di seluruh negara disaran mengadakan solat sunat Istisqa’ bagi memohon kepada Allah SWT agar diturunkan hujan berikutan fenomena cuaca panas El Nino yang berlaku sejak pertengahan Februari lalu yang dijangka berlarutan sehingga April depan.

Keadaan ini juga menyebabkan kemerosotan air di empangan dan loji rawatan air berada di bawah paras membimbangkan sehingga menyebabkan beberapa kawasan di negara ini mulai dibekalkan air secara berjadual termasuk di daerah Kluang.

Penasihat Majlis Agama Islam negeri, Datuk Noh Gadut berkata, solat sunat Istisqa’ tersebut perlu dilakukan segera meskipun keadaan air di seluruh negara atau negeri ini tidak berada ditahap kritikal.

“Dalam Islam, kita tidak perlu tunggu sehingga keadaan betul-betul mendesak atau kritikal baru hendak memohon doa sebaliknya sekarang ini tanda-tanda kekurangan air mula dirasa.

“Saya akan meminta solat hajat ini dilakukan di seluruh negeri Johor dan bukan hanya tertakluk kepada kawasan terlibat sahaja sebaliknya turut menyarankan Jakim untuk mengarahkan ia (solat Istisqa’) dilakukan di seluruh negara,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Noh berkata, apa yang berlaku kini adalah petunjuk serta ujian daripada Allah SWT dan perlu dijadikan iktibar oleh setiap orang.   

“Kita perlu bersyukur kerana apa yang berlaku ini adalah Qada’ dan Qadar, ketentuan dari Allah SWT di mana pasti ada hikmah yang tersembunyi dan kelebihannya kelak.

“Kejadian ini juga tanda peringatan buat kita yang sebelum ini berada di zon selesa, melakukan pembaziran sekaligus mendidik menjadi pengguna yang bijak, berhemah kerana amalan pembaziran ini juga saling berkait dengan syaitan.

“Air ini lebih penting daripada api, kerana kita perlu menggunakan dalam ibadat dan keperluan utama seharian,” katanya.

Katanya, waktu yang sesuai untuk mengadakan solat hajat ini pada ketika solat Jumaat dan waktu malam.

“Kita lakukan ketika solat Jumaat, namun waktu malam juga sesuai di mana kita boleh buat solat hajat, membaca surah Yassin dan solat minta hujan.

“Lebih afdal lagi ia dibuat di seluruh negara dan khususnya di kawasan terlibat seperti diadakan di empangan, mengajak mereka yang terjejas bersama-sama memohon pengampunan dan merasai iktibar,” katanya.

Akuinya, ketika krisis air sebelum ini, pihaknya ada membuat solat hajat di empangan di Kluang.

Solat Istisqa’ ialah solat sunat dua rakaat yang dilakukan bertujuan memohon kepada Allah SWT menurunkan hujan bagi mengatasi kemarau.

Ia sangat dituntut bagi penduduk Islam di sesuatu tempat yang telah lama mengalami kemarau, berjerebu dan kesukaran memperoleh sumber air yang boleh mengakibatkan kesihatan terjejas, tanaman mati, binatang ternakan kebuluran dan memerlukan air.

Sumber : Sinar Harian

Advertisements