Kota Tinggi Dibasahi Hujan Setelah Sebulan Kemarau

image

KOTA TINGGI – Selepas mengalami musim panas selama kira-kira sebulan lebih sehingga mengakibatkan kemerosotan paras air di Empangan Sungai Lebam dekat sini, semalam daerah Kota Tinggi akhirnya dibasahi hujan.

Bagi Ketua Kampung Felda Lok Heng Selatan, Mohammad Bakar, beliau merasa amat bersyukur dengan kurniaan Tuhan yang telah menurunkan hujan di bumi Kota Tinggi ini.

Menurutnya, hujan yang turun itu telah lama dinantikan warga daerah ini selepas sebulan lebih ketiadaan hujan sehingga ada di antara penduduk yang mula merasa bimbang sekiranya catuan air dilakukan.

“Akibat cuaca panas yang melanda, usaha untuk memadamkan kebakaran yang berlaku di kawasan kebun peneroka kita yang telah dijalankan para petugas dan sukarelawan turut menjadi sukar.

“Bagaimanapun kita amat bersyukur kerana hujan yang turun pada hari ini (semalam) walaupun tidak lama sekurang-kurangnya dapat meredakan kebakaran di kebun peneroka yang berlaku sejak Khamis lalu itu,” katanya.

Katanya, apa yang diharapkan dalam tempoh sehari dua ini hujan akan kembali turun agar dapat menyelesaikan sepenuhnya masalah air yang terpaksa penduduk alami.

“Setiap kali musim panas penduduk akan berdepan dengan masalah air yang sedikit kekuningan. Ia biasa berlaku apabila musim kering yang berpunca daripada tanah gambut.

“Bagaimanapun air tersebut tidak payau dan masalah ini hanya akan selesai sepenuhnya jika hujan turun dalam tempoh dua hari,” katanya lagi.

Sumber : Sinar Harian

Advertisements