Rokok seludup ancam kesuburan

Bahaya rokok

Bahaya rokok

SHAH ALAM – Kajian menunjukkan sebanyak 50 peratus kaum lelaki di Malaysia adalah perokok dan rakyat Malaysia membelanjakan RM1.5 bilion setiap tahun untuk membeli rokok.

Namun sebahagian daripada jumlah ini memilih rokok seludup seperti John, Luffman dan Canyon yang memberikan kesan jauh lebih buruk kepada kesihatan termasuk kesuburan lelaki.

Rokok seludup yang mempunyai kandungan tar, nikotin dan karbon monoksida lebih tinggi daripada rokok biasa bukan sahaja menjadi punca kepada penyakit kronik seperti kanser paru-paru dan strok, tetapi juga menyumbang kepada masalah kesuburan lelaki seperti mati pucuk serta mampu mengganggu perkembangan saiz zakar.

Semua itu mampu berlaku akibat pendedahan berterusan kepada bahan kimia berbahaya yang digunakan secara berlebihan dalam rokok seludup termasuk nikotin.

Kadar nikotin yang tinggi dalam rokok seludup menyebabkan saluran darah ke zakar menjadi sempit dan tersumbat, oleh itu nikotin mengakibatkan masalah disfungsi ereksi atau erectile dysfunction iaitu mati pucuk.

Penyelidik dari Kolej Kesihatan Umum Universiti Tampere di Finland, Dr Rahman Shiri berkata, perokok menghadapi risiko 50 peratus lebih besar bagi kegagalan fungsi ereksi, berbanding mereka yang tidak merokok.

“Ia mungkin melemahkan pengaliran darah ke zakar, mengganggu fungsi nitrik oksida yang penting untuk rangsangan atau menyebabkan saluran darah ke jantung menjadi tegang, antara punca yang diketahui sebagai penyebab mati pucuk,” katanya yang dipetik dari jurnal Urology.

Masalah kesuburan dianggap serius dalam masyarakat hari ini kerana hubungan seks turut dianggap penting dalam kehidupan pasangan yang telah berkahwin.

Ketua Pakar Embriologi, Pusat Kesuburan Konsep, Yee Siew Yin, menganggarkan 60 hingga 70 peratus perokok mengalami masalah kesuburan.

Hanya 30 hingga 40 peratus termasuk dalam kumpulan bertuah yang tetap subur dan boleh mendapat anak, walaupun bermacam jenis racun tersimpan dalam badan mereka, apatah lagi jika menghisap rokok seludup.

Katanya, racun daripada asap rokok memberi kesan jangka panjang kerana boleh menyebabkan kerosakan kekal pada sel yang bertanggungjawab menghasilkan sperma, mengakibatkan kurang sperma dihasilkan.

Kajian American State University mendapati sperma perokok lelaki mengalami perubahan yang menyebabkan proses persenyawaan menjadi sukar.

Semua perubahan ini berlaku kerana kandungan bahan dalam tembakau boleh meniru bahan kimia semula jadi badan, iaitu asetilkolin. Asetilkolin ialah kimia yang membawa maklumat ke sel saraf dan ketidakseimbangannya boleh memberi kesan kepada tekanan darah, corak tidur, ingatan, fungsi mental dan aktiviti seksual.

Mengikut kajian pakar kesuburan menunjukkan lagi lama seseorang individu merokok, lebih bermasalah kualiti sperma mereka.

Merokok juga akan mengurangkan bilangan atau kuantiti sperma kerana bahan kimia mencegah penyerapan vitamin dan mineral dalam air mani seperti kekurangan vitamin B12, vitamin E dan zat galian.

Oleh sebab itu, ada pasangan yang sukar mendapat zuriat kerana masalah kesuburan.

– Sinar Harian

Advertisements