Lahir penjawat awam berpengetahuan, dinamik

IKHWAS

KLUANG – Institut Tadbiran Awam Negara Kampus Wilayah Selatan (Ikwas) menganjurkan wacana bicara eksekutif bagi memberi pendedahan kepada penjawat awam agar lebih berpengetahuan, dinamik dan berprestasi tinggi, kelmarin.

Menerusi wacana tersebut seramai 500 penjawat awam dari Zon Selatan terlibat secara langsung dalam program yang julung kali diadakan di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Kluang, di sini.

Pengarah Ikwas, Dr Azani Salleh berkata, wacana itu selari aspirasi nasional 1Malaysia, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ dan gagasan ‘Merakyatkan Perkhidmatan Awam’.

“Program ini merupakan sebahagian daripada pembangunan keupayaan dan kebolehan modal insan sektor awam seperti yang dihasratkan pemimpin negara dalam pentakrifan semula hala tuju latihan dan strategi pembelajaran.

“Transformasi Tadbir Urus dan Integriti dalam perkhidmatan awam telah dipilih sebagai tema program ini. Ia selari dengan isu dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang telah dibentangkan Ketua Audit Negara setiap tahun.

“Ikwas berhasrat melalui wacana bicara ini penjawat awam akan diberi pendedahan mengenai isu berbangkit supaya mereka dapat memikul cabaran masa hadapan demi mengekalkan tadbir urus yang terbaik,” katanya pada majlis Wacana Bicara Eksekutif di Ikwas, Kluang, kelmarin.

Dr Azani berkata, dalam wacana bicara itu, Ikwas telah menjemput Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed untuk mengadakan sesi dialog berkongsi idea dan pandangan bersama penjawat awam di negeri ini.

Ujarnya, program itu adalah platform perbincangan bagi perkongsian perspektif dan pengalaman antara Nur Jazlan dengan penjawat awam.

“Kebanyakan peserta wacana ini adalah ketua jabatan kerajaan. Apa yang kita mahu perkongsian yang diperoleh dapat dikongsi bersama anak buah apabila mereka pulang ke jabatan masing-masing.

“Ikwas juga bercadang untuk meneruskan wacana seumpama itu pada masa akan datang dengan menjemput mereka yang pakar untuk memberi ceramah,” katanya.

– SINAR HARIAN

Advertisements