Kerajaan Johor minta peniaga turun harga barang sejajar penurunan tarif elektrik dan harga minyak

turun harga barang

JOHOR BAHRU – Para peniaga di negeri ini digesa tidak menaikkan harga barangan sewenangnya sejajar penurunan tarif elektrik yang diumum kerajaan, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata, para peniaga kini tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak menurunkan harga jualan berikutan pengumuman itu.

“Kita amat menyambut baik penurunan tarif elektrik itu dan kita mohon pengilang dan pembekal juga supaya menurunkan harga dalam mengurangkan bebanan golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.

Siew Kiong berkata, demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat persediaan musim perayaan Tahun Baharu Cina 2015 bersama pembekal, pengedar dan agensi, di sini.

Mesyuarat Kabinet hari ini memutuskan untuk menurunkan tarif elektrik dengan kadar Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak 2.25 sen/kWj bagi pengguna di Semenanjung Malaysia, berkuat kuasa 1 Mac hingga 30 Jun 2015.

Selain itu, purata kadar tarif elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan diturunkan sebanyak 1.20 sen/kWj, berkuat kuasa bagi tempoh sama, penurunan sebanyak 3.5 peratus daripada purata kadar tarif semasa.

Mengenai Tahun Baharu Cina Siew Kiong berkata, keperluan bekalan di negeri ini adalah mencukupi sepanjang menyambut perayaan tersebut.

“Sehubungan itu, kita berharap para pengguna tidak bimbang dengan kekurangan bekalan yang dihadapi dan kita sentiasa membuat pemantauan bagi mengelakkan ada peniaga yang sengaja menaikkan harga,” katanya.- Bernama

Advertisements