Galak penduduk Kluang bertani

Jais Sarday

Yb Md Jais Sarday bergurau dengan peserta

KLUANG – Biro Pertanian dan Industri Asas Tani Umno Bahagian Kluang mengambil pendekatan menganjurkan program Penerangan Peranan dan Peluang dalam Pertanian sebagai pendorong rakyat daerah ini bertani.

Program itu mendapat kerjasama Jabatan Pertanian, Fama dan Jabatan Veterinar Kluang.

Pengerusi biro itu, Musa Mansor berkata, pendedahan itu satu langkah permulaan kepada masyarakat di daerah ini mengetahui cara bertani.

Beliau berkata, kebanyakan penduduk Kluang tinggal di kawasan bandar dan mereka boleh mengambil peluang bertani dengan cara yang ditunjukkan Jabatan Pertanian.

“Tujuan utama kita adalah memberi pendedahan kepada pemimpin masyarakat di setiap pelosok kawasan di daerah ini untuk menimba ilmu dan kemudiannya menyampaikannya kepada penduduk kawasan mereka.

“Jabatan Pertanian banyak memberi bantuan kepada sesiapa yang ingin mengusahakan tanaman dan masyarakat di kawasan taman juga boleh mengusahakannya seperti menanam pokok lada.

“Ada bantuan disediakan dan yang penting masyarakat mengambil peluang ini untuk menambah pendapatan,” katanya selepas ditemui dalam program diadakan di Dewan Terbuka Jalan Sawi, di sini, semalam.

Musa berharap, program itu dapat memberi manfaat dan ilmu kepada masyarakat dan mendidik mereka menyertai bidang pertanian.

Program berkenaan disempurnakan Adun Mahkota, Md Jais Sarday merangkap Exco Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerajaan negeri.

Md Jais berkata, kerajaan memperuntukkan anggaran RM2 juta hingga RM4 juta setahun bagi menjayakan Program Galak Usahawan (PGU).

“Tahun ini kerajaan peruntukkan RM4 juta bagi program PGU dan RM1 juta daripada peruntukan berkenaan digunakan untuk bangunkan tanah terbiar.

“Jadi masyarakat boleh merebut peluang bagi memajukan hasil produk mereka. Bantuan disediakan oleh Jabatan Pertanian itu boleh dimohon sesiapa sahaja bagi bantuan dari segi peralatan, baja, biji benih dan sebagainya.

“Saya harap lebih ramai orang Kluang menyertai bidang pertanian,” katanya.

– Sinar Harian

Advertisements