Jauhari Selatan sasar lima juta pelancong

JOHOR BAHRU 4 Feb. – Industri pelancongan Johor dijangka terus rancak dengan kerajaan negeri menyasarkan lima juta pelancong bakal mengunjungi negeri yang terletak di selatan tanah air ini tahun ini, seiring pertumbuhan sektor itu yang berkembang pantas di peringkat global.

Sasaran tersebut meningkat daripada 4.6 juta yang direkodkan tahun lalu sekali gus menunjukkan keyakinan jumlah terbaharu itu mampu dicapai menerusi pelbagai program yang sudah dirancang selain tarikan sedia ada di negeri ini yang tetap akan menjadi tumpuan pelancong.

Perkara itu turut diperkukuhkan dengan kedudukan negeri ini yang mempunyai 14 pintu masuk dan sudah pasti usaha menarik dan mempertingkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Johor yang mempunyai potensi untuk menjadi hab pelancongan di wilayah selatan dapat dijalankan dengan jayanya.

Peruntukan kerajaan negeri bagi merancakkan industri pelancongan turut menyaksikan peningkatan sebanyak RM5.9 juta berbanding RM4.5 juta bagi tujuan sama tahun lalu sekali gus memperlihatkan pihak terlibat serius dalam sektor tersebut.

Kalendar Pelancongan Johor juga turut dirancang dengan pelbagai program serta aktiviti baik bersifat lokal mahu pun antarabangsa, selain perancangan yang turut dijalankan secara bersama dengan kerajaan persekutuan menerusi agensi-agensi yang berkenaan.

Antara program yang sering dan bakal mencuri tumpuan adalah Explore Johor, Festival Layang-Layang Antarabangsa, Perarakan Chingay, Johor Treasure Hunt, Kembara Mahkota Johor, Malaysia Rally dan Pameran Pelancongan Halal.

Semua yang diusahakan itu merupakan antara langkah diambil dalam memperhebatkan sektor tersebut dan menarik pengunjung ke negeri ini iaitu dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Johor sering dilabelkan sebagai laluan transit kepada pelancong terutama dari Singapura.

Namun, keadaan itu sudah mula berubah menerusi perancangan rapi termasuk dalam usaha menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, pelbagai produk pelancongan tumbuh terutama berkonsepkan family fun dengan wujudnya taman tema seperti Legoland dan Taman Aktiviti Angry Bird.

Seiring dengan itu, kerajaan negeri berpendapat Johor tidak boleh ketinggalan dalam merebut peluang di dalam sektor pelancongan tersebut dengan menyasarkan lima produk pelancongan berkepentingan global menjelang 2017 sekali gus menjadikan Johor sebagai Jauhari Selatan.

Pertama, membangunkan alam sekitar Endau Rompin di Mersing sebagai pusat pelancongan dan penyelidikan alam sekitar terulung di Asia Tenggara dan kedua, Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai yang terkenal sebagai tapak Ramsar akan dibangunkan sebagai kawasan rekreasi serta paya bakau yang mesti dilawati.

Ketiga, menyasarkan supaya negeri ini menjadi Pusat Kebudayaan Melayu utama dunia dan dikenali sebagai destinasi yang turut mempamerkan kerencaman serta ketinggian budaya Melayu yang unik dan keempat pula mahu menjadi Johor pusat persidangan bertaraf antarabangsa menerusi penyediaan kemudahan terbaik.

Dan yang kelima menjadikan Johor hab pelancongan keluarga seperti Legoland Malaysia, Taman Tema Keluarga Puteri Harbour dan Johor Premium Outlet.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, beliau yakin Johor kini mampu menawarkan kepelbagaian kepada pelancong baik dari dalam mahu pun dari luar negara sekali gus yakin dengan segala usaha yang sudah dan akan dirancang di masa akan datang.

Katanya, semua inisiatif yang digerakkan itu turut dilengkapi dengan strategi Pelan Induk Pelancongan Negeri Johor yang dilancarkan pada hujung tahun lalu.

“Saya percaya Johor sudah bangkit dan menjadi destinasi pelancongan yang unggul dan mesti dilawati di negara ini, malah saya turut menerima maklum balas daripada pelancong bahawa sekarang kalau ke negeri ini tidak cukup hanya sehari kerana banyak perkara yang mahu dilakukan di sini.

“Bagi saya ini merupakan satu pencapaian yang amat baik dan selaku Exco yang bertanggungjawab dalam sektor tersebut, saya akan sentiasa berusaha untuk memperhebatkan industri itu dan pada masa sama akan terus mengadakan lawatan ke daerah-daerah di negeri ini bagi memastikan industri pelancongan terus diperhebatkan,” katanya.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/jauhari-selatan-sasar-lima-juta-pelancong-1.56015#sthash.nOoGTpDL.dpuf

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s