Transformasi Medan Selera MBJB Bernilai RM1.5juta

IMG_0171_thumb

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta tahun ini bagi projek transformasi menaiktaraf 12 lokasi medan selera sekitar bandaraya Johor Bahru.

Ahli Majlis Penyelaras Penjaja MBJB, Zaini Atan berkata, kerja-kerja menaiktaraf itu membabitkan aspek pengindahan gerai dengan pemasangan lantai jubin dan menaiktaraf tandas di seluruh lokasi medan selera yang dikenalpasti.

Katanya, langkah transformasi itu bertujuan meningkatkan aspek kebersihan dan keselesaan pengunjung di kawasan medan selera selain meningkatkan imej bandaraya ini sebagai destinasi kunjungan utama.

“Kerja-kerja naiktaraf ini akan dimulakan sepanjang tahun ini termasuk memasang jubin pada lantai yang sebelum ini hanya menggunakan simen sahaja.
“Bahagian belakang gerai juga akan ditambah pemasangan jubin dan menaiktaraf kemudahan tandas agar lebih selesa,” katanya.

Zaini berkata, empat syarikat kontraktor telah dilantik bagi menaiktaraf 12 medan selera berkenaan antaranya di Larkin (Bomba), Bandar Baru Uda, Seri Stulang, Permas Jaya, Taman Rinting dan Pandan.

Selain itu katanya, pihak MBJB turut mengambil inisiatif memberi penerangan kepada peniaga yang terlibat dalam proses transformasi itu agar pengetahuan mereka mengenai aspek penjagaan kebersihan dipertingkatkan.

“Kita telah mula memanggil peniaga mengikut zon untuk tingkatkan pengetahuan mereka supaya mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan Jabatan Kesihatan dan MBJB.

“Langkah transformasi ini akan diperluaskan ke seluruh medan selera secara berperingkat bagi meningkatkan imej bandaraya ini,” katanya.

 

Sumber : Sinar Harian

Advertisements