Krisis MIC memuncak

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Krisis MIC kini seolah-olah tiada penghujungnya.

Kemuncaknya apabila pekarangan ibu pejabat parti itu di Jalan Rahmat di sini menjadi huru-hara dengan kehadiran ratusan ahli MIC serta ‘kumpulan gengster’ yang tidak dikenali.

Mereka bukan sahaja berhimpun, malah bergaduh sesama sendiri susulan pemecatan Datuk M. Saravanan sebagai Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan malam tadi.

Saravanan yang sepatutnya mengadakan sidang akhbar berhubung pemecatannya secara tiba-tiba pula dihalang masuk oleh sekumpulan lelaki yang turut mendakwa mereka adalah pengawal keselamatan yang bekerja di bawah seliaan Setiausaha Agung, Datuk G. Kumaar Aaman.

Kumpulan ini juga enggan membenarkan mana-mana pihak termasuk orang awam dan media untuk masuk ke bangunan tersebut.

Lebih dramatik lagi ialah apabila Ketua Wanita MIC, M. Mohana yang tiba di bangunan itu untuk melakukan kerja harian beliau di pejabatnya di Tingkat 5 turut dihalang daripada masuk ke premis itu dengan ‘alasan’ tidak mendapat persetujuan daripada pihak atasan.

Namun, Ketua Penerangan MIC, L. Subramaniam tampil menafikan insiden tersebut dan mengatakan dia telah pergi berjumpa dengan Saravanan sendiri untuk membenarkan Naib Presiden itu menggunakan pejabat di tingkat 2 bagi tujuan sidang akhbar.

Tidak cukup dengan itu, Saravanan turut memberi amaran kepada Palanivel supaya berhenti ‘bermain api’ selain memberinya tempoh 24 jam untuk mengadakan mesyuarat CWC bagi membincangkan hal pemecatan beliau.

Jika tidak, beliau bersama para penyokongnya yang merupakan ahli akar umbi akan mengadakan mesyuarat tersebut tanpa keha­diran Palanivel selain akan berarak ke rumah Palanivel di Hulu Kelang.

Menurut Saravanan, sekiranya masih tidak ada sebarang penyelesaian, beliau bersama Subramaniam akan bertemu sendiri Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyelamatkan parti masyarakat India itu.

Kemelut MIC ini dianggap kian parah terutama apabila insiden hari ini menunjukkan ada kalangan mereka sudah berani untuk mem­belakangi kuasa presiden.

Tambah mendukacitakan ketika ini adalah apabila budaya yang selama ini dipandang serong oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti demonstrasi, perarakan, kekecohan serta kenyataan terbuka dalam media dan ‘open fight’ dilakukan dalam komponen BN sendiri.

– See more at: Utusan Malaysia

Advertisements