Kempen bantah pembalakan dilancar

image

KULAIJAYA – Pemimpin PR  melancarkan kempen mengumpul tanda tangan bagi membantah aktiviti pembalakan di kawasan hutan simpanan Hutan Lipur Gunung Pulai 1.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, kempen itu dilancarkan selama dua minggu sehingga 10 Februari ini dan memorandum bantahan akan dihantar kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin agar tindakan lanjut diambil.

Katanya, aktiviti pembalakan perlu dihentikan memandangkan sebelum ini pihak berwajib mendakwa kawasan berkenaan yang ditutup sejak 2001 masih tidak selamat dibuka kepada orang ramai kerana struktur tanah tidak kukuh.

“Kawasan itu ditutup hingga sekarang selepas kejadian banjir besar dan runtuhan pada 2001 hingga mengorbankan lima nyawa kerana alas an struktur tanah di situ masih tidak kukuh.

“Tetapi kami dan penduduk di sini hairan mengapa aktiviti pembalakan dibenarkan dijalankan di kawasan  berkenaan.

“Tidakkah tindakan ini akan menyebabkan runtuhan lebih teruk berlaku. Kami tidak mahu kejadian runtuhan berulang dan peristiwa yang terjadi di Cameron Highland berlaku di sini,” katanya.

Nie Ching berkata, memorandum dan kempen yang dijalankan turut bertujuan mendesak kerajaan negeri agar tidak mengazetkan hutan simpan berkenaan sebagai hutan simpan hasil.

“Saya dimaklumkan hutan simpanan di negeri ini dikategorikan kepada hutan lipur, hutan perlindungan, hutan rekreasi dan hutan hasil.

“Bagi kategori hutan hasil, kerajaan negeri boleh mengizinkan aktiviti pembalakan atau kuari dijalankan agar sebahagian hasil dapat memberi pendapatan kepada kerajaan.

“Kami berharap kawasan perhutanan Gunung Pulai ini tidak digazetkan sebagai hutan hasil agar ekosistem di sini tidak terjejas dan mengundang kejadian tidak diingini,” katanya.

Dalam pada itu, kempen mengumpul tandatangan berkenaan turut disertai Adun Bukit Batu, Jimmy Phua Wee Tse dan Adun Pekan Nenas, Yeo Tung Siong.

-Sinar Harian

Advertisements