Tindakan Tegas Kepada Penceramah Ingkar

image (4)

PONTIAN – Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak sekiranya isi kandungan ceramah yang disampaikan pada majlis ilmu seperti sambutan Maulidur Rasul mengandungi unsur yang boleh memecah-belahkan umah Islam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Abd Mutalib Abd Rahim berkata, Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) tidak teragak-agak mengambil tindakan mengikut undang-undang.
Menurutnya, bagi mengelakkan perkara tersebut berlaku, penganjur perlu memastikan mereka diundang untuk menyampaikan ceramah perlu mendapat tauliah daripada Majlis Agama Islam Johor (Maij).

“Selain tauliah, penganjuran juga perlu mendapat kebenaran Pejabat Agama Daerah supaya kehadiran mereka diketahui pihak berkuasa bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya selepas merasmikan Surau Al-Mutaqqin Kampung Parit Mastar, Benut, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Umno Cawangan Parit Mastar, Muhammadan Ahmad, Penghulu Mukim Sungai Pinggan, Zulkifli Tube dan Ketua Kampung Kawasan (6) Mukim Sungai Pinggan, Tumadi Yunos.

Katanya, tauliah yang dikeluarkan Jaij tidak terkecuali kepada mana-mana penceramah walaupun mereka dikenali melalui rancangan program di televisyen.

“Peraturan jelas menyatakan mereka perlu mendapat tauliah dan kebenaran terlebih dahulu tanpa ada sebarang pilih kasih atau keistimewaan.

“Jaij akan bekerjasama dengan pihak polis bagi memastikan tiada perkara di luar batasan disampaikan penceramah meskipun semua syarat telah ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, jika rakaman mendapati mereka melanggar kebenaran yang diberikan, Jaij tidak teragak-agak untuk mendakwa penceramah terlibat kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Justeru, beliau meminta umat Islam di negeri ini berhati-hati dengan tindakan pihak tertentu yang cuba untuk  menimbulkan suasana kurang senang dengan berselindung di sebalik majlis-majlis ilmu.

“Majlis- majlis ilmu tidak dilarang, namun perlu berdasarkan kepada fakta dan hujah yang betul, bukan mengalihkan kepada isu-isu yang mempunyai unsur-unsur fitnah serta tohmahan kepada kerajaan,” katanya.

 

Sumber : Sinar Harian

Advertisements