Sokong Hukum Pendera Tapi Tolak Hukum Merotan Anak

image (5)

KUALA LUMPUR – Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno bersetuju dan menyokong penuh jika undang-undang berkaitan penderaan yang mengakibatkan kecederaan serius fizikal kanak-kanak diperketatkan tetapi membantah jika mahu meletakkan hukuman merotan bagi tujuan didikan di bawah kesalahan serius jenayah.

Pengerusinya, Sheikh Nafiq Alfirdaous Sheikh Abd Rahman berkata, amalan merotan seperti lazimnya di negara ini, merujuk kepada objektif mendidik dan mendisiplinkan anak-anak melalui kaedah peringatan dan bukan bersifat seksaan.

“Kementerian berkaitan harus faham dengan inti pati dan pengertian serta pentafsiran yang terkandung dalam Konvensyen Mengenai Kanak-kanak (CRC) yang mana ia sendiri ditentang oleh kebanyakan pihak dan pengamal undang-undang.

“Ini kerana pentafsirannya adalah berkenaan penderaan yang keterlaluan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal yang teruk.

“Manakala istilah ‘merotan’ dalam kalangan masyarakat Malaysia adalah merujuk kepada peringatan bagi tujuan mendidik,” katanya.

Menurut Sheikh Nafiq, pengalaman Biro Aduan Komuniti di Sweden ketika kes Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Nor Shal, telah menjelaskan wajah sebenar undang-undang Barat yang tidak mengambil kira faktor didikan sebaliknya bersifat menghukum dengan tafsiran penderaan fizikal.

“Malah Kementerian haruslah merangka satu program yang radikal bagi mengembalikan semula keutuhan dan keberkesanan program melibatkan institusi kekeluargaan dan bukan mengambil jalan mudah dengan membuka ruang untuk anak-anak mengambil peluang atas kesalahan jenayah yang akan diperkenalkan ke atas ibu bapa mereka,” katanya.

 

Sumber : Sinar Harian

Advertisements