Projek Koridor Timur Johor Terus Rancak

image (1)

JOHOR BAHRU – Ketidaktentuan ekonomi global tidak merencatkan pelaburan ke Johor, sebaliknya koridor timur negeri ini terus menerima pelaburan langsung asing (FDI) yang berimpak besar.

Terkini, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memeterai pelaburan dari China di Zon Ekonomi Utama “A” Iskandar Malaysia.

“Pertumbuhan di Johor semakin rancak hasil pelancaran beberapa pembangunan hartanah mega oleh pelabur asing sekaligus membantu meningkatkan ekonomi tempatan yang menerima kesan limpahan projek mereka.

“Sebanyak 13 syarikat tempatan dan luar negara terlibat secara aktif dalam membangunkan Iskandar Waterfront City yang baharu dicadangkan di Danga Bay dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kumulatif sebanyak RM125 bilion di Koridor Barat membentang dari Johor Bahru ke Nusajaya,” katanya dalam satu kenyataan media pada majlis menandatangani perjanjian usaha sama antara Greenland Kumpulan dan IWCB yang berpengkalan di Johor, di sini.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri optimis membangunkan Koridor Timur Johor Bahru, membentang dari Tebrau Bay ke Pasir Gudang.

Menurutnya, pembangunan Tebrau Bay Waterfront City akan dimajukan syarikat nombor satu dari China iaitu Greenland Group.

Beliau berkata, pembangunan urban besar dan mengambil masa 15 tahun akan dijalankan secara usahasama dengan Iskandar Waterfront City Berhad (IWCB), yang juga syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Johor.

“Greenland telah melabur RM2.4 bilion bagi mengambil alih 51.2 hektar daripada IWCB di bawah Fasa 1 projek tersebut, yang akan mempunyai taman tema salji, rumah opera, hospital yang khusus dalam perubatan tradisional Cina dan sekolah.

“Ia dijangka mengubah Koridor Timur Johor menjadi destinasi gaya hidup baharu di Asia Tenggara seperti Gold Coast di Australia,” katanya.

Beliau mengalu-alukan projek bernilai RM3 bilion tersebut yang akan memberi impak buat Johor dan menegaskan ia hasil hubungan dua hala yang kukuh antara China dan Malaysia sejak 40 tahun.

Advertisements