Ahli DAP Gelang Patah Dipinggirkan

image (6)

SKUDAI – Kecewa apabila nasib malangnya tidak dipedulikan pemimpin parti, bapa kepada lima anak dari Jalan Kemajuan 21, Taman Universiti, di sini nekad untuk keluar parti sekiranya masih tidak mendapat perhatian sewajarnya dalam tempoh tiga hari.

N Ganesan, 47 berkata, dia bersama isteri serta lima anaknya berusia 19 hingga 25 tahun merupakan ahli seumur hidup DAP Cawangan Taman Universiti 2 sejak lima tahun lalu dan sentiasa aktif menyertai aktiviti parti termasuk berkempen ketika Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Bagaimanapun, dia kecewa apabila masalah kesihatan dan kesempitan wang yang dihadapi langsung tidak dipedulikan parti walaupun ketua cawangannya telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Saya sudah lama menghidapi kencing manis, namun penyakit ini menjadi semakin teruk sejak awal tahun ini sehingga menyebabkan saya tidak boleh berjalan seperti biasa.

“Hospital kerajaan menyarankan agar kaki kiri saya yang sudah bernanah dipotong supaya tidak melarat dan menjadi lebih teruk.

“Tetapi saya cuba dapatkan rawatan lain di klinik swasta supaya kaki tidak dipotong namun kosnya terlalu mahal sehingga RM200 sehari untuk mencuci luka dan nanah pada kaki,” katanya.

Ganesan berkata, dia cuba mendapatkan bantuan menerusi parti berkenaan namun sehingga kini tiada tindakan susulan diambil dan menyebabkan dia buntu bagaimana untuk menampung kos perubatannya.

“Saya terpaksa meminta bantuan dari pihak MCA agar masalah yang dihadapi mendapat perhatian” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Pusat, Jason Teoh Sew Hock menggesa Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang agar turun padang untuk meninjau keadaan ahlinya yang juga pengundi di kawasan itu.

Dalam pada itu, Pembantu Khas Ahli Parlimen Gelang Patah, Ooi Chio Seong berkata, pihaknya tidak menerima maklumat berhubung masalah dihadapi Ganesan namun akan mengadakan tinjauan dalam masa terdekat untuk mengenal pasti masalah dihadapi.

 

Sumber : Sinar Harian

Advertisements