Johor atasi masalah kemerosotan bekalan ikan

ISMAIL MOHAMED

ISMAIL MOHAMED

KLUANG 21 Jan. – Kerajaan negeri sedang mengadakan rundingan untuk merangka Pelan Pembangunan Perikanan negeri bagi mengatasi masalah kemerosotan bekalan yang semakin ketara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed (gambar) berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi memastikan pelan tersebut dapat dilaksanakan kelak.
Menurutnya, bekalan ikan di negeri ini semakin merosot dengan hanya 21,000 tan ikan akuakultur pada tahun lalu berbanding 30,000 tan pada 2013.
“Malah, tangkapan ikan juga semakin menurun, iaitu kira-kira 110,000 tan yang diperoleh pada 2013 dan jumlahnya merudum kepada 98,000 tan pada tahun lalu.
“Hal ini disebabkan beberapa faktor, antaranya pembangunan, pencemaran dan faktor nelayan sendiri,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kebun Integrasi Ladang Nanyo di Projek Pertanian Moden, di sini semalam. Yang turut hadir, Pengarah Perikanan negeri, Munir Mohd. Nawi.
Ismail berkata, pihaknya juga terpaksa mengimport bekalan dari negeri lain untuk menampung permintaan, terutamanya pada musim perayaan.
“Selain itu, kita yang pernah menjadi pengeluar tertinggi bekalan ikan terpaksa mengurangkan eksport ke kawasan lain termasuk ke Singapura disebabkan perkara ini,” katanya.
Pihaknya juga sedang mengkaji penggunaan teknologi perikanan terkini untuk mengatasi masalah itu, selain menggalakkan golongan nelayan moden menceburi industri tersebut.
– See more at: http://www.utusan.com.my

Advertisements