Kumpulan pertama terima wang ihsan

PONTIAN – Sembilan belas keluarga dari tiga kampung di sini merupakan kumpulan pertama yang menerima wang ihsan banjir sebanyak RM500 daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kesemua penerima itu ialah penduduk dari Kampung Parit Pasir Lama (enam keluarga), Kampung Jasa Sepakat (10 keluarga) dan Kampung Parit Basilam (tiga keluarga).

Ketua Penolong Setiausaha MKN Johor, Azura Muhammed Kifli berkata, program pemberian wang ihsan hari ini adalah program pertama di seluruh Malaysia.

Beliau berkata, penyerahan wang ihsan bagi daerah Segamat ditetapkan pada 21 Jan ini, Kulaijaya (22 Jan), Kluang (25 Jan) serta Ledang (25 Jan).

“Bagi daerah Muar, Kota Tinggi dan Batu Pahat, dijangka proses pembayaran selewat-lewatnya pada minggu hadapan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kukup, Suhaimi Salleh berkata, pengagihan wang ihsan hari ini turut diselitkan dengan sumbangan barangan keperluan harian seperti beras kepada keluarga terjejas.

“Ia disumbangkan oleh agensi kerajaan di bawah pentadbiran daerah Pontian seperti Jabatan Pertanian serta Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan bantuan itu.

Menurut beliau, banjir yang melanda daerah Pontian baru-baru ini tidak teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya, namun begitu usaha untuk mengekang banjir pada masa depan tetap perlu diteruskan.

“Sebelum ini, kita telah laksanakan usaha mendalamkan Sungai Jeram Batu dan anak sungai di Kampung Parit Pasir tetapi itu tidak memadai,” katanya. – Bernama

Advertisements