Rakyat Malaysia Terus Prihatin Sumbang Bantuan Banjir

image (2)

PONTIAN – Bagi menggalakkan orang ramai membantu mangsa banjir khususnya di negeri pantai timur ketika ini, kutipan barangan sumbangan dari kampung ke kampung telah digerakkan di hampir 100 kampung.

Adun Kukup, Suhaimi Salleh berkata, satu tabung diletakkan di kampung-kampung terbabit bagi memberikan peluang kepada orang ramai menyumbang kepada mangsa banjir.

Katanya, selain sumbangan dalam bentuk wang tunai, pihaknya juga menerima sumbangan  barangan seperti dapur memasak, pakaian bayi, air mineral, lampin pakai  buang, tuala wanita dan sebagainya.

Menurut beliau, Umno Bahagian Tanjung Piai turut membantu  dengan menggerakkan 86 cawangan Umno di seluruh bahagian bagi menjayakan usaha terbabit.

“Kami juga terpanggil untuk sama-sama  menyahut seruan untuk tampil membantu mangsa-mangsa banjir yang sedang menghadapi saat sukar dan getir ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian  selepas pelancaran misi pengumpulan bantuan mangsa banjir di Pusat Kesihatan Penerok di sini.

Program tersebut  turut dijayakan bersama oleh Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim  ( JPMM ) Dun Kukup, Majlis Gabungan  Ngo Melayu Negeri Johor Daerah Pontian atau Gabung dan Gerakan Rakyat D’Hati.

Tambahnya lagi, program ini juga memberikan peluang kepada para peniaga juga untuk sama-sama  memberikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir mengikut kemampuan dan keikhlasan mereka.

Menurut beliau, walaupun banjir semakin reda, namun proses pasca banjir memerlukan lebih banyak sokongan serta bantuan kepada mangsa-mangsa yang kini berusaha memulihkan kehidupan mereka.

 

Sumber : Sinar Harian

Advertisements