Kontraktor Lambat Baik Pulih Rumah

image

PENGERANG – Sikap kontraktor yang culas sehingga menyebabkan timbul pelbagai masalah di Taman Bayu Damai dikhuatiri akan menjadi sebab rakyat di Pengerang menyalahkan kerajaan.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pihaknya sememangnya tidak berpuas hati dengan keadaan serta masalah yang berlaku di penempatan baharu tersebut.

Beliau juga meminta agar Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (Upen) melakukan pemantauan berikutan keadaan yang berlaku kerana ia membabitkan pengorbanan penduduk yang bukan sedikit.

“Kita pun tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku malah saya juga sudah hubungi Upen sendiri berkenaan perkara tersebut. Mereka telah menyuruh pihak kontraktor untuk baiki semua kerosakan di rumah penduduk terlibat. Bagaimanapun saya dimaklumkan ramai yang tidak berpuas hati sebab kerja baik pulih lambat dan ianya tidak buat secara ‘urgent’.

“Saya minta Upen agar betul-betul pantau keadaan tersebut sebab penduduk sudah korbankan rumah mereka untuk berpindah ke penempatan itu tetapi rumah yang disediakan pula berada dalam keadaan teruk.

“Saya rasa ini tidak adil buat penduduk. Kita juga tidak mahu disebabkan perkara ini rakyat salahkan kerajaan BN sedangkan ia bukan salah kerajaan tetapi salah kontraktor,” katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya juga sudah membawakan perkara itu di Dewan Rakyat dan berharap agar masalah yang dihadapi penduduk di taman tersebut akan diatasi segera demi untuk keselesaan mereka.

 

Sumber : Sinar Harian

Advertisements