Banjir Semakin Buruk di Sarawak

image (3)

KUALA LUMPUR – Keadaan banjir di Sarawak bertambah buruk pada petang ini apabila jumlah mangsa banjir di negeri itu terus meningkat kepada 3,892 orang berbanding 3,458 orang tengah hari tadi.

Bagaimanapun mangsa banjir di Kelantan dan Perak masing-masing kekal dengan 354 orang daripada 74 keluarga dan 80 orang daripada 21 keluarga.

Di SARAWAK, dua lagi pusat pemindahan dibuka pada petang ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 26 pusat pemindahan.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak berkata mangsa yang berada di pusat pemindahan di daerah bahagian Kuching kini berjumlah 2,119 orang, Samarahan (717), Mukah (519) dan Limbang (537) setakat 6 petang.

Katanya jumlah sekolah yang ditutup akibat banjir di Sarawak sehingga kini kekal 33 sekolah namun keadaan cuaca petang ini nampak bertambah baik dan menjanjikan suasana yang diramal lebih positif selepas ini.

Sementara itu, di KELANTAN, sehingga kini kesemua 354 mangsa masih ditempatkan di sembilan pusat pemindahan di Kuala Krai berikutan rumah mereka hanyut atau rosak teruk akibat banjir berlaku Disember lepas.

Di PERAK, jurucakap MKN Perak pula berkata jumlah mangsa di Perak Tengah ada sebanyak 46 orang daripada 11 keluarga manakala di Hulu Perak sebanyak 34 mangsa daripada 10 keluarga. – Bernama

Advertisements