Pelan Induk Pelabuhan Johor Akan Diwujudkan

PASIR GUDANG: Kerajaan Negeri akan mewujudkan Pelan Induk Pembangunan Pe­labuhan-pelabuhan Jo­hor bagi memantapkan perkembangan ekono­mi­ Johor.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, pelan berkenaan akan meliputi pelbagai aspek melibatkan pelabuhan-pelabuhan di negeri ini, termasuk kemungkinan pembinaan sebuah lagi pelabuhan di Pengerang, Kota Tinggi.

Katanya, pelan induk yang dikendalikan oleh Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) itu masih pada peringkat perangkaan dan ia dijangka siap hujung tahun ini.

“Kerajaan negeri percaya pembinaan sebuah lagi pelabuhan bukan sahaja penting untuk perkembangan ekonomi, malah dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya tenaga kerja mahir meliputi pelbagai bidang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang, di sini.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk digunakan bagi membina dewan tertutup dan padang sintetik di sekolah ber­kenaan.

Mengenai projek pembangunan Forest City, beliau berkata, projek berkenaan telah mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Segala kerja penambakan akan dipastikan mematuhi peraturan yang ditetap. Kerajaan negeri tiada masalah dengan kerja penambakan selagi mematuhi undang-undang termasuk menyediakan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA),” katanya.

Mohamed Khaled berkata, pembangunan projek-projek di atas tanah tebus guna bukan sesuatu yang baru dan ia telah dilakukan di negara-negara lain termasuk Singapura.

“Semua projek di atas tanah tebus guna di Johor perlu memenuhi syarat yang ketat dan menerima kelulusan penilaian kesan alam sekitar daripada JAS,” katanya.

Advertisements