Khutbah Jumaat Tidak Suruh Islam Ekstrim

MB SIDANG DEWAN UNDANGAN NEGERI KALI KE-13

PASIR GUDANG: “Saya tidak percaya masjid-masjid yang mempunyai atau dibenarkan untuk mengadakan solat Jumaat di mana khatib membaca khutbah menggalak umat Islam bersifat ekstrim, tidak menghormati, tidak toleran kepada kaum yang lain.

Itu tegas Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin yang mengulas kenyataan Eric Paulsen susulan dakwaan tajuk khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh JAKIM menyebarkan fahaman Ekstremisme.

Katanya, dalam khutbah Jumaat umat Islam sentiasa diingatkan supaya mentaati dan bertakwa kepada Allah dan menjauhi larangannya.

“Kita dalam khutbah Jumaat sentiasa ditegaskan untuk sentiasa takut kepada Allah SWT, maknanya patuh kepada undang-undang dan patuh kepada peraturan supaya kita bersikap sederhana sepanjang masa.

“Tidak pernah dalam khutbah menggesa umat Islam supaya melakukan tindakan-tindakan yang ganas dan ekstrim kepada sesiapa sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul anjuran KIMMA bahagian Pasir Gudang, di sini semalam.

Katanya, persepsi sebegitu wujud apabila umat Islam di negara ini semakin lemah akibat perpecahan sesama sendiri.

“ Saya tidak nafikan hakikat punca kepada semua ini mungkin kerana kita berpecah dalam politik, jadi akhirnya umat Islam walau pun kita ramai, kita nampak lemah dan bila kita lemah, akan ada anasir-anasir yang menghina agama kita,” katanya.

Ujarnya lagi, hanya satu sahaja cara yang boleh mengembalikan kekuatan Islam iaitu melalui perpaduan di kalangan umatnya.

“Kita tahu tiada cara lain untuk menjaga agama kita selain daripada kita tunjukkan bahawa umat Islam kuat. Dan umat Islam hanya kuat jika kita bersatu padu.

“Kalau pun mungkin kita tidak boleh duduk kerana politik, tetapi sekurang-kurangnya kita boleh duduk bersama kerana kita hendak jaga agama Islam kita.

“Jangan nanti politik kita tidak boleh duduk sama, hendak jaga agama Islam pun kita tidak boleh duduk sama kerana politik yang memisahkan itu mengatasi soal hendak jaga kedudukan agama,” katanya.

sumber : jauhar.my

Advertisements