Suami Pertahan Isteri Ditikam Peragut

image (3)

MUAR – Usaha seorang suami melindungi isterinya daripada diragut bertukar malang apabila diserang serta ditikam penjenayah menggunakan pisau dalam cubaan ragut di Taman Arosa, Bakri, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.20 malam itu, Lee Chi Meng, 37, cedera pada bahu dan difahamkan tikaman tersebut mengenai saluran darah menyebabkannya mengalami pendarahan tanpa henti.

Mangsa menjadi sasaran penjenayah terbabit yang tidak berpuas hati selepas cubaan pertamanya untuk meragut beg tangan isteri mangsa gagal.

Suspek yang menunggang motosikal sendirian berpatah balik lalu menikam mangsa sebelum meninggalkan tempat kejadian.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali Afendi,31, berkata, dia menyedari kejadian tersebut selepas terdengar kekecohan di sebuah kedai yang terletak berhampiran kedai makan diusahakannya, iaitu 20 meter dari tempat kejadian.

“Ketika itu ramai pelanggan berada di kedai saya sedang menikmati makanan lalu meninggalkan hidangan masing-masing ke lokasi kejadian untuk mengetahui kejadian sebenar.

“Apabila di tempat kejadian, saya lihat seorang lelaki dengan pakaian berlumuran darah yang sedang menahan kesakitan, cuba ditenangkan isterinya,” katanya kepada  Sinar Harian.

Menurutnya, pasangan suami isteri itu baharu keluar daripada kereta yang diparkir di hadapan sebuah kedai barangan RM2.  Apabila mereka menuju ke kedai tersebut, tiba tiba datang sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki cuba meragut beg tangan isteri mangsa.

“Mangsa berjaya menghalang penjenayah terbabit daripada menarik beg tersebut, tetapi tidak berapa lama kemudian, penjenayah itu datang semula lalu menyerang serta menikam mangsa guna pisau.

“Kejadian berlaku sangat pantas dan insiden tersebut turut disaksikan oleh salah seorang pekerja saya yang kebetulan ke kedai berkenaan untuk membeli barangan,” katanya.

Menurutnya, suspek yang memakai songkok memecut laju motosikal meninggalkan tempat kejadian selepas menyerang mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob, mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, keadaan mangsa dilaporkan stabil  dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Advertisements