Rumah Hangus Dalam Masa 15 Minit

image (2)

BATU PAHAT – Tergamam dan tidak mampu berbuat apa-apa, itu dialami pasangan warga emas di Kampung Sejagong, Sri Medan setelah kediaman mereka hangus terbakar.

Ketika kejadian jam 1.30 pagi itu, Noklong Kadi, 78, dan isterinya, Sapura Mohd Yassin, 74, sedang tidur.

Noklong berkata, dia yang sedang tidur dikejutkan isterinya yang mula menyedari rumah mereka terbakar setelah dia terasa bahang api.

Katanya, dia terus meluru keluar tanpa sempat menyelamatkan barang dan dokumen penting dan tinggal sehelai sepinggang.

“Saya tak sempat hubungi bomba dan tidak sampai 15 minit, saya tergamam lihat rumah hangus di depan mata,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, walaupun kediamannya musnah, namun dia bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad berkata, pihaknya akan membantu Naklong untuk mendapatkan bantuan sewajarnya bagi meringankan beban mereka.

Katanya, pihaknya melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Sulong telah menghubungi agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan juga Majlis Agama Islam Johor (Maij).

“Saya yakin agensi berkaitan akan menghulurkan bantuan awal seperti barangan keperluan harian dan sedikit wang saku untuk kegunaan mereka dalam masa terdekat.

“Saya turut akan memastikan kediaman pasangan warga emas ini akan dibina dalam masa terdekat,” katanya.

Advertisements