3 Kedai Terbakar Awal Pagi

image (1)

KOTA TINGGI – Tindakan pantas anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar mengeluarkan enam tong gas dari sebuah kedai runcit, berjaya mengelakkan letupan dalam kebakaran membabitkan tiga kedai di Kampung Baru Datuk Ghani Othman, Teluk Ramunia, awal pagi semalam.

Ketua Operasinya, A Rahman Mohd Salleh berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian pada 6.04 pagi sebelum sampai 24 minit kemudian bersama sebuah jentera.
Menurutnya, dia dan lima anggota lain mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengawal kebakaran tersebut.

“Semasa sampai di lokasi kejadian, api sudah merebak ke kedai ketiga iaitu kedai runcit. Angin kuat ketika kejadian menyebabkan api marak dengan cepat dan membakar kedai motor dan kedai perkakasan.

“Kita dapati tong gas di kedai runcit tersebut sudah berubah warna dan di tahap panas yang boleh akibatkan letupan. Bagaimanapun kita sempat mengeluarkannya sekali gus mengelakkan letupan,” katanya.

Rahman berkata, pihaknya berdepan dengan kesukaran kerana tiada kemudahan pili bomba disediakan di kedai terbabit.

“Ketika kejadian, sumber air terbuka seperti sungai tiada, jadi kita terpaksa mengambil air dari tadika berhampiran yang terletak sejauh satu kilometer.

“Kebakaran ini menyebabkan enam motosikal di kedai motor terlibat hangus. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

 

Sumber : Sinar Harian

Advertisements