Runtuhan Tanah Semakin Serius

image

JOHOR BAHRU – Penduduk di Jalan Badik 22 Taman Puteri Wangsa, di sini, meluahkan rasa bimbang ekoran berlaku runtuhan tanah semakin serius di hadapan rumah sejak lebih dua bulan lalu. Wakil penduduk, Wong Qiu Feng, 26, berkata, tanah di cerun longkang besar di hadapan rumahnya mulai runtuh sejak lebih dua bulan lalu.

Menurutnya, kehidupannya sekeluarga semakin tidak tenteram kerana bimbang dengan keselamatan terutama pada musim hujan. “Pada mulanya hanya sedikit tanah runtuh, tapi sekarang ruangan tanah yang telah runtuh sudah sepanjang 30 meter dan 10 meter tinggi.

“Saya semakin bimbang kerana kalau musim hujan berterusan, sudah pasti runtuhan semakin teruk dan membahayakan keselamatan pengguna Jalan Puteri Wangsa,” katanya. Penduduk, Wong Fook Hua, 61, berkata, kejadian itu baharu pertama kali berlaku sepanjang lebih 15 tahun dia menetap di perumahan itu. Menurutnya, pihak bertanggungjawab diminta tampil mencari jalan penyelesaian memandangkan masalah itu terlalu serius dan boleh mengancam nyawa penduduk terutama kanak-kanak.

“Kejadian begini belum pernah berlaku sepanjang saya tinggal di sini. “Saya mohon kerjasama pihak bertanggungjawab tampil menyelesaikan masalah ini sebelum terjadi perkara tidak diingini,” katanya.

Advertisements