Pecah Rumah, 2 Lelaki Dicari Polis

image (1)

LEDANG – Polis  sedang mencari dua lelaki bagi membantu siasatan beberapa kejadian pecah rumah sekitar daerah ini dan Melaka.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohd Salleh Abd Razak berkata, individu pertama dikenali sebagai Ong Weng Meng, 26, dengan alamat terakhir di Taman Kesidang, Melaka.

“Lelaki ini merupakan suspek utama dalam beberapa kes pecah rumah Ledang dan Melaka dengan kejadian terbaru awal tahun ini.

“Empat rakannya berjaya ditahan dalam beberapa tangkapan berasingan pada 5 hingga 7 Januari lalu menerusi Ops Pintu dilancarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di IPD Ledang, kelmarin.

Beliau berkata, penahanan tersebut membawa kepada penemuan semula pelbagai jenis barangan dipercayai milik mangsa yang dianggarkan bernilai RM80,000.

“Antara yang dijumpai sembilan telefon bimbit, lapan komputer riba, 11 jam tangan, lima kamera, sembilan botol minuman keras, tiga album lama mengandungi wang syiling dan wang kertas pelbagai negara. “Barangan ini ditemui dalam sebuah kereta Proton Waja yang dilaporkan hilang di Salak Selatan Baru ketika menahan suspek keempat di Taman Laksamana Cheng Ho, Melaka pada 7 Januari lalu,” katanya. Katanya, lebih 10 rumah dipercayai dipecah masuk kumpulan berkenaan dengan menyasarkan rumah yang tiada penghuni ketika kejadian.

Mohd Salleh berkata, seorang lagi suspek dikenal pasti adalah daripada kumpulan lain yang dikenali sebagai M Ganesan, 25, dan berasal dari Ipoh, Perak.

Menurutnya, usaha menjejaki suspek terbabit sedang giat dilakukan termasuk mendedahkan gambar suspek kepada media massa bagi memudahkan menjejaki mereka. “Saya minta kerjasama orang ramai dan ahli keluarga untuk membantu polis dengan memberikan maklumat berhubung lokasi terkini dua suspek terlibat yang masih bebas.

“Orang ramai yang mengetahui atau mengenali individu terbabit diminta menghubungi atau tampil ke balai polis berhampiran,” katanya.

Advertisements