Lori Kayu Punca Jalan Berdebu dan Berlubang

image

PONTIAN – Penduduk sekitar Kampung Puteri Menangis Laut mendesak agar pemilik perusahaan kayu mengambil inisiatif bagi mengatasi masalah jalan berdebu, kotor dan berlubang dipercayai akibat menjadi laluan lori kayu terbabit.

Difahamkan penderitaan penduduk itu sudah berlarutan lebih 10 tahun.

Wakil penduduk, Mad Nor Lagino, 67, berkata, keadaan jalan sepanjang tiga kilometer yang merupakan nadi perhubungan penduduk itu, menyukarkan penduduk setempat menjalankan aktiviti harian dan menghantar anak ke sekolah.

“Apabila hujan, hanya kereta yang boleh melaluinya, itu pun kadang-kadang tersangkut akibat jalan berlumpur dan berlubang.

“Apabila panas, jalan berdebu menyebabkan penglihatan kabur selain menjejaskan kesihatan penduduk,” katanya.

Jelasnya, keadaan jalan berlubang mendedahkan penduduk terutama penunggang motosikal terhadap risiko kemalangan.

“Awal tahun ini, seorang penduduk warga emas meninggal dunia selepas terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya ketika melalui jalan itu.

“Selain itu, banyak kes penduduk terjatuh dari motosikal ketika melalui jalan berlubang dan berdebu itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Anita Nasanalhu, 37, berkata, dia kerap menggunakan laluan itu untuk menghantar tiga anaknya ke sekolah.

“Saya bimbang terjadi sesuatu ketika hantar anak-anak melalui jalan itu untuk ke sekolah, dengan keadaan jalan cukup bahaya kepada penunggang motosikal.

“Kejadian penunggang motosikal terjatuh ketika menggunakan laluan itu tidak lama dulu menakutkan saya, tapi saya tak ada pilihan lain selain terus gunakannya,” katanya.

Justeru, penduduk berharap agar masalah mereka mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak bertanggungjawab.

Advertisements