UMNO Pagoh rai 14 veteran parti

MUHYIDDIN Yassin bergambar dengan penerima-penerima anugerah khas dalam Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, Muar, malam semalam. – MINGGUAN/Ishak Rahmad

MUHYIDDIN Yassin bergambar dengan penerima-penerima anugerah khas dalam Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, Muar, malam semalam. – MINGGUAN/Ishak Rahmad

PAGOH 10 Jan. – Tema retro 60-an mewarnai kemeriahan Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang UMNO Bahagian Pagoh yang dihadiri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di Kompleks Sukan Pagoh, di sini malam tadi.

Melangkah ke majlis tersebut umpama kembali ke era kegemilangan pop yeh-yeh dengan menyaksikan fesyen-fesyen zaman itu diperagakan bertujuan meraikan 14 bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO bahagian berkenaan.

Veteran UMNO terbabit seangkatan dengan Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO dan selama ini banyak memberi sokongan kepada Timbalan Perdana Menteri sejak menerajui bahagian itu lebih 20 tahun lalu.

Pada majlis itu, Muhyiddin dan kira-kira 500 tetamu dihiburkan dengan persembahan artis jemputan yang membawakan lagu-lagu nostalgia zaman itu selain beliau turut menyampaikan anugerah khas kepada 14 AJK tersebut sebagai penghargaan atas sumbangan mereka dalam memperkasakan parti.

Muhyiddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh dalam ucapannya menyifatkan suasana majlis tersebut sebagai sesuatu yang luar biasa dan ceria dilakukan secara santai.

‘‘Inilah sekali-sekala santai begini. Mungkin saya sudah terlalu tertekan, kerja banyak tak berhenti-henti terutamanya dalam menghadapi cabaran banjir luar biasa tahun lalu dan tahun ini. Ini lari sedikit (daripada kebiasaan).

‘‘Jangan ada pihak yang salah faham pula kata orang Pantai Timur menderita banjir tetapi kita di Pagoh berseronok. Majlis ini dilakukan untuk meraikan sahabat-sahabat kita yang telah lama berjuang, berkhidmat dan berbakti kepada parti,’’ katanya.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri; Naib Ketua UMNO bahagian, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh; Ketua Wanita UMNO bahagian, Senator Datuk Noriah Mahat dan Ketua Puteri UMNO bahagian, Rohaizah Ahmad.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/umno-pagoh-rai-14-veteran-parti-1.46662#sthash.BVlFDyoL.dpuf

Advertisements