Stadium Baru JDT Kekalkan Nama Stadium Larkin

JOHOR BAHRU – Sebuah stadium baharu bakal dibina di sekitar kawasan Nusajaya, untuk digunakan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada masa akan datang.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berharap agar stadium berkenaan dapat memulakan pembinaan secepat mungkin.

Menurutnya, meskipun dibina di lokasi luar daripada kawasan Larkin, stadium baharu itu akan tetap diberi nama sebagai Stadium Larkin sebagai menghormati Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.

“Baru-baru ini saya bercakap mengenai stadium yang baharu. Kemungkinan ada perubahan perancangan sikit di mana saya nak stadium ini untuk mulakan pembinaan secepat mungkin.

“Walaupun stadium saya akan berada di tempat lain, tak silap saya lokasi sekitar Nusajaya, nama tetap saya simpankan sebagai Stadium Larkin.

“Nama tersebut tetap Larkin kerana menghormati stadium ini (Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos) yang sudah banyak memberi ‘result’ kepada kita,” katanya kepada media, baru-baru ini.

Tunku Ismail berkata, apabila siap kelak, Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin akan digunakan oleh pasukan JDT II.

Sementara, pasukan JDT III, JDT IV dan JDT V pula akan berkongsi stadium di Pasir Gudang (Stadium MPPG).

Beliau berkata, semua  usaha itu adalah perancangan demi kelangsungan bola sepak negeri ini, dan pembangunan bakat muda terdiri daripada anak tempatan.

“Itu (pembangunan bakat muda) adalah mustahak. Manakala, piala adalah salah satu bonus kalau dapat.

“Tidak semestinya projek bola sepak Johor runtuh kalau tiada piala,” katanya.

Tunku Ismail berkata, menjadi keutamaannya untuk memiliki kelab yang konsisten setiap tahun, menghasilkan  bakat muda, mempunyai  bola sepak berkualiti dan  membangunkan program  serta infrastruktur terbaik.

Advertisements