SESSI SEKOLAH 2015 NEGERI JOHOR BERMULA

JOHOR BAHRU – Kesemua 1,178 buah sekolah di Johor yang melibatkan 904 buah sekolah rendah dan 274 buah sekolah menengah dibuka seperti biasa hari ini kecuali 3 sekolah rendah yang ditunda sessi persekolahannya.

Jabatan Pendidikan Johor mengesahkan tiga sekolah rendah di negeri ini yang sepatutnya memulakan sesi persekolahan 2015 hari ini terpaksa ditunda berikutan laluan ke sekolah dinaiki air akibat banjir.

Pengarah Pendidikan Johor,  Aminudin Adam berkata,  tiga sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan Peta, Mersing; Sekolah Kebangsaan Sedohok, Kluang dan Sekolah Kebangsaan Punan, Kluang.

Beliau memaklumkan, sekolah akan dibuka seperti biasa apabila laluan yang ditenggelami banjir boleh dilalui oleh semua kenderaan dan ia juga bergantung pada paras air yang melimpah.

Aminudin Adam juga berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat lain mengenai sekolah yang dinaiki air dan berharap sesi persekolahan 2015 yang akan bermula hari ini di negeri ini berjalan lancar.

“Sebahagian kawasan yang terjejas akibat banjir di Segamat menjadikan balai raya sebagai pusat penempatan sementara, oleh itu, tiada sekolah di negeri ini yang dijadikan pusat pemindahan banjir ketika ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Aminuddin berkata memandangkan cuaca yang masih tidak menentu, pihaknya akan memantau perkembangan sehingga malam ini bagi memastikan sama ada terdapat guru atau murid yang tidak dapat ke sekolah berikutan jalan yang dinaiki air.

“Mana-mana guru atau murid yang mengalami masalah berkenaan banjir diminta memaklumkan situasi mereka,” katanya.

Beliau berkata keseluruhannya, sebanyak 609,554 murid sekolah rendah dan menengah seluruh Johor akan bersekolah esok dengan 56,390 daripadanya merupakan murid Tahun Satu.

Katanya kemasukan ke Tingkatan Satu pula melibatkan 50,538 pelajar manakala 4,930 orang lagi memasuki kelas peralihan.  – Bernama

Advertisements