SMAKJ Kluang catat kecemerlangan

JOHOR BAHRU – Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor (SMAKJ) Kluang mencatat keputusan cemerlang dalam dua peperiksaan utama peringkat sekolah agama negeri ini melibatkan peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) dan Sekolah Menengah Rendah Agama (SMRA) 2014.

Pengumuman keputusan dibuat Pengarah Jabatan Agama Islam negeri, Norizan Kulob sempena Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK), Sijil Darjah Enam Agama (SDEA), SMRA dan SMA 2014 di Pusat Islam, semalam.

SMAKJ mencatatkan keputusan 100 peratus kelulusan menerusi 114 calon yang mengambil peperiksaan SMRA dengan gred purata skor (GPS) 1.27 dan Syaza Bazliah Taib dari sekolah itu diumum sebagai pelajar terbaik apabila memperoleh sembilan Mumtaz.

Manakala untuk peperiksaan SMA, sekolah berkenaan turut mencatatkan kecemerlangan apabila memperoleh 100 peratus kelulusan dan GPS 1.52 dan Muhammad ‘Ammar Syahmi Md Sadakah dari sekolah itu diumumkan sebagai pelajar cemerlang menerusi pencapaian keseluruhan 10 Mumtaz.

Menurutnya, jumlah calon lulus keseluruhan untuk peperiksaan SMRA ialah 1,554 orang atau 82.5 peratus pada tahun lalu dan meningkat 5.6 peratus berbanding dua tahun sebelumnya dan 262 calon atau 14 peratus memperoleh Mumtaz.

“Bagi peperiksaan SMA, bilangan calon lulus keseluruhan pada 2014 ialah seramai 931 orang atau 79 peratus, merosot sebanyak 0.1 peratus berbanding 2013 dan 151 calon atau 13 peratus memperoleh Mumtaz.

“Selain SMAKJ, tiga sekolah lain turut menunjukkan prestasi cemerlang dengan kejayaan lulus 100 peratus iaitu Sekolah Menengah Agama (SMA) Parit Raja, Batu Pahat; SMA Al-Attas, Johor Bahru dan SMA Darul Irfan, Johor Bahru bagi peperiksaan SMA,” katanya pada majlis berkenaan, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pengurusan Pengarah Jabatan Agama Islam negeri, Noh Ibrahim.

Pada majlis berkenaan, Norizan turut menyempurnakan pelancaran Buletin Pendidikan serta taklimat bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam negeri Johor.

Dalam pada itu, beliau berkata, daerah Kulaijaya dengan pencapaian GPS 1.44 untuk peperiksaan UPKK, manakala Sekolah Agama Parit Patah, Pontian dengan pencapaian GPS 1.04 muncul sekolah terbaik untuk peperiksaan itu.

“Untuk peperiksaan SDEA, sekolah terbaik adalah Sekolah Agama Sepakat Jaya, Batu Pahat dengan pencapaian GPS 1.73 dan pelajar terbaik ialah Farahin Ahmad Suhardi dari Sekolah Agama Taman Seri Lambak dengan pencapaian keseluruhan 9A atau 96 peratus,” katanya.

Advertisements