Semua Mangsa Banjir Di Johor Pulang Ke Rumah

BANJIR JOHOR1KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) — Keadaan banjir di Johor semakin reda susulan kesemua 20 mangsa di pusat pemindahan telah pulang ke kediaman masing-masing, setakat tengah hari ini.

Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor, satu-satunya pusat pemindahan yang aktif di Segamat iaitu Balai Raya Kampung Batu Badak, kini telah ditutup.

Di PERAK, jumlah mangsa yang ditempatkan di 32 pusat pemindahan di lima daerah menurun sedikit kepada 5,539 orang berbanding 5,545 orang pagi tadi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Perak berkata jumlah mangsa banjir di Perak Tengah ialah 4,409 orang, Hulu Perak (600), Hilir Perak (304), Manjung (150) dan Kuala Kangsar (76).

Sementara itu, di PAHANG dan KELANTAN jumlah mangsa banjir setakat tengah hari ini tidak menunjukkan sebarang perubahan dengan masing-masing kekal sebagaimana pagi tadi iaitu 21,471 dan 4,784 orang.

— BERNAMA

Advertisements