Penjawat awam lega terima bonus kerajaan negeri

Kerajaan_Negeri_Johor.transformedJOHOR BAHRU – Pengumuman pemberian bonus setengah bulan gaji ternyata memberi perkhabaran gembira untuk semua kakitangan Kerajaan Johor yang menerima bayaran minimum RM500 mulai semalam.


Pegawai Tadbir Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Firdaus Abdul Hamid mengakui amat menghargai pemberian bonus tersebut dan ia secara tidak langsung meringankan beban kewangan ditanggung penjawat awam.

Menurutnya, ia sudah tentu memberi sedikit kelegaan kepada penjawat awam terutama yang telah berkahwin berikutan sesi persekolahan bakal bermula.

“Jika golongan masih bujang seperti saya mungkin tidak terlalu terasa bebanan perbelanjaan semasa namun pemberian bonus ini dapat meringankan beban kakitangan yang telah berkahwin dan mempunyai tanggungan.

“Saya berpendapat, walaupun sesetengah pihak pembayaran ini dianggap kecil namun ia salah satu inisatif kerajaan untuk menghargai warga kerjanya,” katanya.

Bagi, kakitangan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Ghazali Samad berkata, jumlah pemberian setengah bulan gaji juga mengikut kemampuan semasa kerajaan.

Menurutnya, beliau menyambut baik pemberian itu yang dilihat dapat meringankan beban ditanggung ibu bapa yang sedang membuat persiapan persekolahan anak.

“Saya amat berterima kasih kerana kerajaan tidak lupa untuk memberikan penghargaan kepada kakitangannya sekaligus ia dapat meningkatkan lagi motivasi berkerja lebih bersungguh-sungguh,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Majlis Perbadaran Kulaijaya (MPKu), Halim Ridhauddin Abd Manap berkata, tarikh pembayaran juga dianggap sesuai kerana kebanyakan ibu bapa sedang membuat persiapan membeli kelengkapan persekolahan anak.

“Tidak dinafikan jumlah bayaran adalah mengikut kemampuan kerajaan dan saya yakin jika kemampuan juga meningkat pada masa akan datang sudah tentu pembaran bonus turut dinaikkan mengikut keadaan semasa,” katanya.

Advertisements