Jaij arah 807 masjid buat kutipan

JMY_200212_01_11_002SENAI – Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) akan mengeluarkan surat  rasmi dalam masa terdekat ini untuk mengarahkan kira-kira 807 masjid di seluruh negeri membuat kutipan sebagai menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Pantai Timur pada solat Jumaat, minggu ini.

Pengarahnya, Norizan Kulob berkata, bagaimanapun, pihaknya mencadangkan hanya 10 peratus daripada hasil kutipan tabung masjid tersebut akan diserahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk misi berkenaan.

“Kutipan akan dilakukan atas nama Jaij dan kita syorkan kutipan yang diberikan hanya 10 peratus daripada keseluruhan kutipan yang diperoleh pada solat Jumaat 9 Januari ini.

“Namun, terpulang sekiranya masjid berkenaan mahu memberi lebih daripada jumlah yang dicadangkan kerana kutipan tabung pada solat Jumaat adalah di bawah urusan dan hak jawatankuasa masjid berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, pihaknya menyambut baik usaha berkenaan sebagai membantu meringankan beban mangsa banjir di Pantai Timur yang terjejas.

Dalam pada itu, Pengerusi Masjid Taman Perling, Wan Basiron Wan Ahmad berkata, walaupun pihaknya telah berbuat demikian sebelum ini, namun beliau tetap menyokong usaha berkenaan sekiranya diarahkan berbuat demikian.

“Sebelum ini, Masjid Taman Perling sendiri telah menghantar bantuan berupa pakaian, makanan, keperluan wanita, bayi dan sebagainya dan hingga sekarang mereka yang menyediakan bantuan berkenaan masih berada di sana.

“Namun, sekiranya pihak jabatan mengarahkan sedemikian, kita akan berbuat demikian kerana menyambut baik sekaligus menyokong usaha murni itu. Tiada masalah untuk kita mengutip tabung derma lagi kerana ini sebagai keprihatinan kita kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Terdahulu, Pemuda Umno Johor mencadangkan kerajaan negeri menyalurkan semua kutipan tabung masjid di seluruh negeri pada solat Jumaat minggu ini kepada mangsa banjir di Pantai Timur terutamanya Kelantan.

Ketuanya, Hahasrin Hasim berkata, sumbangan daripada keseluruhan masjid di Johor sedikit sebanyak dapat meringankan beban pihak kerajaan negeri Kelantan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyatnya yang ditimpa musibah itu.

Advertisements