Istiadat pemahkotaan Sultan Johor pada 23 Mac

image (4)JOHOR BAHRU – Istiadat Pemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Sultan Johor kelima akan dilakukan 23 Mac depan.

Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli memaklumkan Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan satu gelaran baru kepada Raja Zarith Sofia Sultan Idris sebagai Permaisuri Johor yang pertama kali digunakan dalam negeri ini.

Majlis pemahkotaan itu akan dilakukan bersama di mana kali terakhir istiadat pemahkotaan itu dilaksanakan 55 tahun lalu.

Abdul Rahim berkata sekurang-kurangnya sembilan istiadat pemahkotaan itu akan diadakan bermula 16 Mac dan sambutan perayaan itu dijangka berlangsung selama tiga bulan.

“Kemahkotaan ini diadakan bukan dengan kuasa dan kehendak undang-undang bahkan ia merupakan warisan tradisi Diraja Johor mengikut fasal 4, bahagian kelima lembaga aturan bagi perintah majlis raja, majlis istana dan agama 1922 memperuntukan kemahkotaan boleh diadakan pada sebarang masa.

“Kemahkotaan ini bagi memperkasa dan memartabakan darjat, kehormatan dan kebesaran serta kedaulatan raja.

“Istiadat kemahkotaan tuanku adalah eksklusif tetapi mengandungi ciri-ciri yang pernah dilakukan dalam istiadat sebelumnya, iaitu kali terakhir pada 1960,” katanya kepada pemberita di Istana Besar, di sini, semalam.

Abdul Rahim berkata antara ciri keunikan yang bakal berlangsung ialah Sultan Johor dan isterinya akan memakai kain pelayang diraja yang direka khas oleh tukang jahit kain pelayang Ratu Elizabeth.

“Majlis istiadat pemahkotaan itu akan menjemput semua Raja dan Sultan negara ini termasuk Sultan Brunei dan pemimpin negara serta negeri.

“Baginda tuanku juga berkenan berangkat ke daerah-daerah pada tarikh yang ditetapkan untuk perayaan bersempena pemahkotaan itu yang dijangka berlangsung selama tiga bulan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, Sultan Johor berkenan dua lambang rasmi kemahkotaan boleh digunakan untuk bahan cenderahati.

“Rakyat dan orang ramai khasnya peniaga cenderamata digalak membuat dan menjual cenderahati dengan menggunakan lambang dan perkataan yang dipersetujukan dengan syarat mendapat kebenaran kerajaan terlebih dahulu.

“Setem pos uang direka khas juga akan dijual di pejabat pos dan medallion emas dibuat dan akan dijual oleh Bank Negara bersempena istiadat pemahkotaan tersebut,” katanya.

Lambang kemahkotaan ini boleh mula digunapakai mulai 1 Januari dan maklumat terperinci mengenai istiadat ini boleh dilayari di laman web, kemahkotaan.johor.gov.my.

Advertisements