Polis Johor Kutip RM2.4 Juta Saman Trafik Warga Asing Dalam Tempoh Enam Hari

Polis Johor Kutip RM2.4 Juta Saman Trafik Warga Asing Dalam Tempoh Enam Hari

JOHOR BAHARU, 4 Jan (Bernama) — Polis Johor berjaya mengutip kira-kira RM2.4 juta hasil pembayaran saman pesalah trafik warga asing dalam tempoh enam hari sejak 27 Dis lepas menerusi ‘Ops Saman Tertunggak Warga Asing’.
saman-trafik
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata jumlah kutipan tersebut adalah menerusi 15,470 saman tertunggak warga asing dalam operasi khas bersama pasukan trafik Bukit Aman yang berakhir 1 Jan lepas.

“Sejumlah RM1.3 juta dikutip menerusi bayaran tunai dan RM1.1 juta menerusi kad kredit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini Ahad.

Beliau berkata sebanyak 13,529 kenderaan asing diperiksa semasa operasi berkenaan di sekitar bandaraya Johor Baharu dan Lebuhraya Link Kedua, Gelang Patah, bagi mengesan pesalah trafik warga asing yang belum menjelaskan saman.

Katanya operasi saman tertunggak warga asing itu akan diteruskan dari masa ke semasa.

Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata seramai tujuh pelajar sekolah berusia 14 hingga 15 tahun ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Seri Alam pada 28 Dis lalu kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan mencuri motosikal.

Katanya polis turut merampas dua buah motosikal dan menemui sejumlah komponen motosikal yang dipercayai dileraikan daripada motosikal curi.

Susulan penahanan itu, kita percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes curi motosikal di bawah IPD Seri Alam, katanya.

— BERNAMA

Advertisements