Pembinaan Loji Kumbahan Di Kampung Pasir Tetap Diteruskan – IWH

JOHOR BAHARU, 30 Dis (Bernama) — Pembinaan loji kumbahan bersepadu berhampiran Kampung Pasir di sini, akan tetap dilaksanakan bagi menampung lebih 80,000 isi rumah di Tampoi, Bandar Baru Uda, Kempas dan Danga Bay pada masa depan, menurut Projek dan Pembangunan Iskandar Waterfront Holdings (IWH).

Pengurus Besar IWH Fadhilah Yahya berkata walaupun mendapat bantahan segelintir penduduk setinggan di kampung itu, pembinaan loji yang dianggar menelan kos RM200 juta itu tidak melanggar undang-undang.

“Pembinaan di tebing Sungai Skudai di tanah seluas 7.2 hektar ini menepati syarat Indah Water Konsortium (IWK) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Kita mengambil inisiatif membinanya pada jarak 50 meter dari kawasan penempatan penduduk walaupun syarat ditetapkan 30 meter dan di kawasan berkedudukan 3.5 meter tinggi dari rumah penduduk,” katanya kepada pemberita pada sesi penerangan projek berkenaan, di sini, Selasa.

Katanya pembinaan loji atas tanah milik anak syarikat IWH, Iskandar Coast Sdn Bhd itu meliputi empat fasa dengan fasa pertama melibatkan pembinaan sebuah loji yang mampu menampung 20,000 isi rumah dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Fadhilah berkata satu stesen pam, laluan sepanjang tiga kilometer dan sebuah taman rekreasi juga akan dibina menerusi fasa pertama tersebut bagi memperindah landskap di kawasan berkenaan.

Katanya pembinaan loji kedua akan dimulakan selepas loji pertama siap manakala loji ketiga dan keempat akan diteruskan bergantung keperluan pada masa hadapan.

“Loji ini berteknologi tinggi dengan tidak mengeluarkan bunyi bising dan tidak mendatangkan bau. Fasa pertama akan dimulakan secepat mungkin selepas semua isu berbangkit membabitkan penduduk selesai,” katanya.

Menurut Fadhilah, ketika ini hanya terdapat empat keluarga setinggan yang enggan berpindah dari kawasan itu manakala 12 lagi keluarga sudah berpindah dan menerima pampasan sebanyak RM10,000 setiap keluarga.

— BERNAMA

Advertisements