Legenda Bola Sepak Dollah Don Meninggal Dunia Akibat Sakit Tua

JOHOR BAHARU, 24 Dis (Bernama) — Legenda bola sepak Abdullah Mohd Don atau Dollah Don, 91, meninggal dunia awal pagi tadi akibat sakit tua.

Anak Allahyarham, Ali, 55, berkata bapanya yang pernah mendapat jolokan ‘Harimau Malaya’ meninggal kira-kira pukul 4 pagi di Hospital Pakar Puteri di sini.

“Allahyarham mula uzur sejak dua tahun lepas dan dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Pakar Puteri semalam selepas semakin lemah,” katanya di rumah Allahyarham di Taman Datuk Onn, Larkin.

Allahyarham yang kematian isteri empat tahun lepas meninggalkan lima anak serta 15 cucu.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah di sini tengah hari Rabu.

Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Suleiman Md Noor menyifatkan Dollah Don sebagai pemain bola yang hebat dan individu yang membangunkan bola sepak moden negara.

“Allahyarham pernah beraksi untuk pasukan bola sepak di China, Singapura dan Indonesia pada era 40-an dan 50-an.

“Presiden Indonesia, Seokarno yang memberi gelaran Harimau Malaya kepada Allahyarham selepas terpukau melihat aksi beliau (mewakili Melayu Singapura) menjaringkan hatrik dalam perlawanan menentang sebuah kelab bola sepak Indonesia (Peseja) pada 1953,” katanya.

— BERNAMA

Advertisements