Kedai Emas Rugi RM300,000 Disamun Enam Lelaki Bersenjata Parang

JOHOR BAHARU, 24 Dis (Bernama) — Sebuah kedai emas di Jalan Sagu 3, Taman Daya, di sini, kerugian kira-kira RM300,000 selepas disamun enam lelaki bersenjatakan parang, Rabu.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata kejadian berlaku 8.57 pagi ketika kedai terbabit baru memulakan operasi perniagaan setengah jam sebelum itu.

“Tiba-tiba, enam lelaki berjaket hitam, bersenjatakan tiga parang dan memakai topi keledar berpenutup muka menyerbu masuk ke dalam kedai memecahkan cermin rak pameran barangan kemas dengan menggunakan dua tukul,” katanya ketika dihubungi.

Sulaiman berkata kejadian berlaku dalam tempoh kurang tiga minit dan kesemua suspek kemudian melarikan diri bersama barangan kemas terbabit dengan menaiki beberapa buah motosikal.

Beliau berkata terdapat lima pekerja dalam kedai, namun, kesemua mereka sempat menyembunyikan diri dalam bilik keselamatan di bahagian belakang dan membunyikan alat penggera.

Katanya, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang bertugas di kawasan berhampiran bergegas ke lokasi terbabit sebaik sahaja mendengar bunyi penggera tetapi gagal mengesan suspek.

Sulaiman berkata tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan bagi mengesan suspek.

–BERNAMA

Advertisements