Hormat-menghormati kekuatan Malaysia – Muhyiddin

00c636e00bee0ba03b364841363f738b_SKUALA LUMPUR 24 Dis. – Kewujudan pelbagai kaum dan agama yang saling menghormati antara satu sama lain merupakan sumber kepada kemajuan serta kekuatan sesebuah tamadun manusia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sehubungan itu berkata, atas semangat mahu mengekalkan keharmonian, perdebatan secara terbuka mengenai agama perlu berhati-hati.

Katanya, walaupun semua pihak harus mengalu-alukan perbahasan serta perbincangan sihat mengenai apa juga isu tetapi batas dan etika mesti dijaga apabila menyentuh persoalan agama.

“Ini penting supaya kita dapat bersama-sama menjaga keharmonian dan kerukunan antara kaum serta agama, seterusnya memelihara kedamaian paling berharga yang kita kecapi selama ini.

“Marilah kita sentiasa bersikap rasional, ketepikan prejudis dan cari titik persamaan untuk dikongsi bersama,” katanya dalam perutusan sempena Krismas di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, jika semua itu dapat dipupuk secara bersama oleh seluruh rakyat, kerukunan berkenaan akan menjadi sumber kekuatan utama untuk kemajuan negara pada masa hadapan.

Menyentuh mengenai Hari Krismas, Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia cukup bertuah kerana setiap perayaan di negara ini dapat disambut dalam suasana cukup aman dan harmoni.

“Saya dan seisi keluarga mengucapkan selamat menyambut Hari Natal kepada semua penganut agama Kristian dan sebagai rakyat, kita bersyukur ia dapat disambut dengan harmoni,” katanya.

Advertisements