Festival Air Pasang Besar Bakal Jadi Acara Tahunan Pelancongan Johor

PONTIAN, 24 Dis (Bernama) — Festival Air Pasang Besar di daerah ini yang menyaksikan fenomena luar biasa sekali setahun itu berpotensi dijadikan acara tahunan sektor pelancongan Johor.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kukup Suhaimi Salleh berkata fenomena yang terjadi setiap tahun pada Disember di Taman Negara Tanjung Piai itu, hanya berlaku pada hari tertentu dan bakal menjadi daya tarikan pelancong termasuk dari luar negara.

“Walaupun air pasang besar hanya dua jam, ia dilihat sesuatu yang unik dan jarang berlaku di tempat lain.

“Kita mahu ia dijadikan acara tahunan dan boleh dimuatkan dalam kalendar pelancongan negeri pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan festival itu di Taman Negara Tanjung Piai, Kukup, di sini Rabu.

Fenomena air pasang besar kali ini dijangka berlaku selama tiga hari bermula semalam.

Selain air pasang besar, pelbagai aktiviti dirangka bagi memeriahkan festival yang julung kali diadakan itu.

Antaranya, sukan air seperti lompat jauh dalam sungai, pukul bantal dan kayuh basikal atas titi serta demonstrasi masakan, sukan rakyat dan pameran kereta.

Festival yang bermula 22 Dis lepas dan berakhir 28 Dis ini, dijangka menarik lebih 20,000 pengunjung.

Festival itu dianjurkan oleh Perbadanan Taman Negara Johor dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Johor.

Bagi memastikan Taman Negara Johor itu kekal menjadi tarikan pelancong, Suhaimi berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM15 juta bagi menaik taraf sepanjang jalan dari Pekan Pontian ke taman negara berkenaan.

Selain itu, katanya, beliau juga akan mengenal pasti infrastruktur di taman negara itu yang bakal dinaik taraf bagi memenuhi kehadiran pengunjung yang semakin meningkat.

— BERNAMA

Advertisements