Peniaga degil dikenakan tindakan

image (15)JOHOR BAHRU – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri telah mengambil tindakan terhadap 34 kes kesalahan jualan murah dengan nilai rampasan RM30,212.10.

Pengerusi Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, operasi yang dijalankan menerusi Ops Bongkar dari Januari tahun ini hingga 4 Disember lalu turut memeriksa 645 premis di seluruh negeri ini.

Menurutnya, dalam tempoh berkenaan juga, sebanyak 568 notis turut dikeluarkan ketika operasi tersebut dijalankan di kompleks perniagaan, pasar raya besar, pemborong dan semua premis perniagaan yang mempunyai aktiviti jualan murah.

“Tindakan kes yang dikenakan itu, rata-ratanya adalah daripada outlet kedai di pasaraya yang menjual pakaian, kasut dan sebagainya. Ini disebabkan mereka tidak memohon untuk mengadakan jualan murah dengan PPDNK.

“Kebenaran untuk menjalankan jualan murah itu diberikan secara terus oleh PPDNKK dan kita minta supaya orang ramai lebih berhati-hati dan tidak terpedaya dengan jualan murah yang diadakan dengan membuat perbandingan harga.

“Ops bongkar ini dilaksanakan bagi membanteras kegiatan penipuan jualan murah dan kerajaan juga memandang serius dakwaan orang ramai tentang perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa walkabout sempena pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Perayaan Krismas di Pasaraya Tesco Bukit Indah, semalam.

Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Perayaan Krismas yang dijalankan selama lima hari itu bermula 23 Disember ini membabitkan 12 jenis barangan dan setakat ini bekalan berkenaan untuk perayaan yang bakal berlangsung Khamis ini adalah mencukupi di seluruh negeri ini.

Dalam pada itu, Siew Kiong berkata, sebanyak 372 kes direkodkan oleh PPDNK membabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972 untuk tempoh yang sama.

“Ia membabitkan dengan nilai rampasan berjumlah RM54,888.20. Kita juga telah melakukan pemeriksaan terhadap 103,022 premis perniagaan di seluruh Johor bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang ditetapkan,” katanya. – Sinar harian

Advertisements