Kejatuhan saham FGV didorong harga pasaran dunia – Razali

fgvKUALA LUMPUR: Penurunan harga saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) kepada lebih separuh daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) disebabkan kejatuhan harga minyak sawit di pasaran dunia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim, berkata penurunan harga komoditi itu di pasaran dunia sememangnya memberi kesan kepada harga saham syarikat yang 75 peratus daripada perniagaannya bergantung kepada sawit.

“Kita tidak boleh bandingkan dengan Sime Darby atau IOI yang lebih pelbagai. Apabila harga turun sudah tentu ia akan mempengaruhi harga FGV. Harga saham FGV pada saya, agak membimbangkan dan sedih, tapi saya harap semua pemegang saham tidak jual (saham mereka),” katanya selepas merasmikan Seminar Ketahanan Nasional 2014 di sini, hari ini.

Razali juga menolak dakwaan kejatuhan saham FGV berkaitan dengan pengurusan yang tidak baik di syarikat itu.

“Tak adil untuk kita hukum. Kalau salah urus, saya pasti anda akan melihat beberapa perubahan dibuat kepada pemegang jawatan. Saya sedang dapatkan maklumat mengenai perniagaan lain di bawah FGV yang boleh kurangkan kebergantungan kepada komoditi,” katanya.

Saham FGV bagi pelabur runcit ketika dibuka untuk tawaran awal permulaan pada Mei 2012 ialah RM4.55, berbanding RM2.20 pada jam 3.30 petang ini. – BERNAMA

Advertisements