VEP tidak jejas pelancongan

image (14)SENAI – Kerajaan negeri optimis pelaksanaan caj permit kenderaan asing (VEP) yang dijangka akan bermula tahun hadapan tidak akan menjejaskan jumlah kemasukan pelancong asing ke Johor khususnya rakyat dari Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri,  Datuk Tee Siew Kiong berkata, Johor masih menjadi pilihan utama pelancong dari republik berkenaan sama ada melawat dan bermalam di destinasi pilihan malah menjadi ‘syurga membeli belah mereka.

Menurutnya, ini dibuktikan apabila kerajaan memutuskan untuk menaikkan kadar tol di pintu masuk ke negara ini iaitu melibatkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru tidak memberi impak terhadap jumlah kemasukan pelancong.

“Kita yakin keputusan kerajaan pusat untuk melaksanakan caj VEP tidak menjejaskan sektor pelancongan khususnya di negeri ini. Ia terbukti apabila ketika kenaikan tol di CIQ pada Ogos lalu tidak memberi kesan kejatuhan kepada jumlah kehadiran pelancong ke Johor.

“Tidak dinafikan, kesan kejatuhan Ringgit Malaysia (RM) sejak awal memberi kesan positif kepada sektor pelancongan malah Johor juga menjadi pilihan utama untuk rakyat dari seberang tambak membeli belah kerana kita menawarkan pelbagai jenama bertaraf antarabangsa, “katanya pada sidang media sempena pelancaran penerbangan pertama Tunamaya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai ke Tioman, di sini semalam.

Kelmarin, kerajaan memutuskan mulai pertengahan tahun depan, kenderaan asing dari Singapura ke Malaysia akan dikenakan Bayaran Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) sebanyak RM20.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, kadar bayaran VEP berkenaan berbeza dengan kaedah yang dilaksanakan oleh Singapura yang hanya mengenakan bayaran pada hari biasa iaitu dari jam 2 pagi hingga jam 5 petang.

Siew Kiong berkata, kerajaan negeri amat yakin VEP tidak menjejaskan sektor pelancongan ini dibuktikan selepas kenaikan tol pintu masuk utama iaitu di Tambak Johor dan Link Kedua mengalami kesesakan apabila kenderaan dari Singapura mula masuk ke Malaysia.

“Johor juga merupakan sebuah negara yang unik kerana mempunyai 14 pintu masuk termasuk menggunakan laluan darat udara dan air, justeru keputusan kerajaan Malaysia mengenakan caj VEP juga mampu meningkatkan hasil negara dan seterusnya dimanfaatkan untuk rakyat,” katanya. – Sinar Harian

Advertisements