RM20 caj VEP dikenakan bermula pertengahan 2015

Aziz Kaprawi 1BATU PAHAT – Mulai pertengahan tahun depan, kenderaan asing dari Singapura ke Malaysia akan dikenakan Bayaran Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) sebanyak RM20.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, kadar bayaran VEP berkenaan berbeza dengan kaedah yang dilaksanakan oleh Singapura yang hanya mengenakan bayaran pada hari biasa iaitu dari jam 2 pagi hingga jam 5 petang.

Katanya, kerajaan telah memutuskan kadar bayaran VEP yang dikenakan ialah RM20 bagi kenderaan asing yang memasuki Johor melalui Singapura dan pembayarannya menggunakan kad Touch n Go.

“Kerajaan sudahpun memutuskan pelaksanaan VEP pada 2015, cuma dijangka akan mula beroperasi pada pertengahan 2015 kerana perlu melalui proses memasang peralatan di kedua- dua pintu masuk ke negara ini.

“Sekarang Kementerian Pengangkutan dalam proses melaksanakan perkara berkenaan selain sedang mendokumenkan kaedah pembelian dan penggunaan sistem terbabit (Touch n Go),” katanya selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Dewan Serbaguna, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hwa Naan, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ab Aziz berkata, walaupun kadar VEP RM20 dianggap rendah, namun caj berkenaan dilakukan setiap hari ( 24 jam, tujuh hari seminggu) berbeza dengan kaedah bayaran yang dikenakan republik Singapura yang tidak mengenakan bayaran pada hujung minggu serta mempunyai diskaun tertentu.

“Pihak kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk mengguna pakai VEP ini di pintu masuk negara dari negara lain jika pelaksanaan berjalan dengan lancar di Singapura.

“Bagaimanapun, kita tumpu dulu di Tambak Johor dan SecondLink dahulu dan jika ianya berjaya, kita bercadang untuk melakukannya di pintu masuk yang lain melalui perjanjian dengan negara yang terlibat,” katanya.

Terdahulu, Singapura mengumumkan peningkatan kadar bayaran VEP ke atas kenderaan berpendaftaran asing daripada S$20 (RM53.00) kepada S$35 (RM94.50 ) sehari berkuatkuasa mulai 1 Ogos lalu manakala bayaran Permit Kenderaan Barangan  (GVP) berdaftar di negara luar pula dinaikkan daripada S$10 (RM26.50) kepada S$40 (RM106.20) sebulan berkuat kuasa mulai tarikh sama.

Peningkatan kadar bayaran VEP Singapura itu hanya tertakluk kepada kereta berpendaftaran asing dan tidak melibatkan bas atau teksi.

Kadar bayaran VEP Singapura mengikut jam masih dikekalkan iaitu dari 2 pagi hingga 12 tengah hari pada hari biasa ketika cuti persekolahan pada Jun dan Disember dan dari 2 pagi ke 5 petang pada hari biasa di luar waktu cuti persekolahan tersebut.

Kadar bayaran VEP untuk motosikal berpendaftaran asing dikekalkan iaitu pada S$4 (RM10.28) manakala VEP percuma dikekalkan pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti am Singapura.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Julai lalu berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan caj VEP ke atas kenderaan asing dari Singapura yang memasuki Johor.

Dalam cadangan awal kerajaan dijangkakan mengenakan kadar RM20 bagi setiap kenderaan asing bagaimanapun pandangan awam berpendapat bahawa caj tersebut terlalu rendah buat warga Singapura – Sinar Harian

Advertisements