PLUS beri rebat 20 % sempena Krismas

image (7)SEGAMAT 21 Dis. – Pengguna rangkai­an Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) yang membayar tol secara elektronik bakal menikmati rebat sebanyak 20 peratus sempena sambutan Krismas, Khamis ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad, Mohammad Fuad Khusairi berkata, pemberian rebat tol itu merupakan penghargaan kepada para pelanggan lebuh raya itu.

“Semua pengguna kenderaan kelas satu yang membayar tol menggunakan sistem elektronik iaitu kad Plus Miles, kad Touch ‘n Go dan SmartTAG akan menikmati rebat tol sebanyak 20 peratus pada 25 Disember ini.

“Pengguna boleh menuntut rebat tol sewaktu menambah nilai kad Plus Miles atau kad Touch ‘n Go masing-masing bermula 15 Februari 2015 sehingga 14 Mei 2015 di semua pusat khidmat pelanggan di lebuh raya kendalian PLUS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Kembali Ke Sekolah 2015 dan Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 peringkat Parlimen Sekijang di Dewan Serbaguna Bukit Siput 2, di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, seramai 500 pelajar termasuk 76 pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang UPSR di Parlimen Sekijang menerima bantuan kelengkapan persekolahan yang disampaikan oleh Ahli Parlimennya, Anuar Abd. Manap.

Sementara itu, Mohammad Fuad berkata, rebat tersebut bagaimanapun tidak diberikan kepada pengguna yang membayar tol di Plaza Tol Tanjung Kupang, Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar dan Jambatan Pulau Pinang.

“PLUS menjangkakan jumlah aliran trafik akan meningkat sebanyak 15 peratus iaitu 1.5 juta kenderaan setiap hari di lebuh raya kendalian kami pada musim perayaan Krismas dan pengguna dinasihatkan agar merancang jadual perjalanan mereka.

“Orang ramai juga perlu bersedia menambah nilai kad Plus Miles atau Touch ‘n Go lebih awal selain menggunakan bayaran elektronik sebagai langkah mempercepat transaksi tol supaya dapat melalui plaza tol dengan selesa dan cepat,” katanya.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/plus-beri-rebat-20-sempena-krismas-1.39572#sthash.bAipWTkY.dpuf

Advertisements